BERITA HARIAN ONLINE
ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata kerajaan negeri bercadang mengambil tindakan mahkamah bagi menyanggah keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan Datuk Abu Hassan Sarif sebagai Adun Kota Siputeh, di Kedah.
“Kerajaan negeri mungkin membawa kes ini ke mahkamah kerana kita menjangkakan SPR akan mengisytiharkan kerusi DUN itu kosong, tetapi apa yang berlaku sebaliknya.
"Tindakan kita mahu mengisytiharkan kerusi itu kosong berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Bagaimanapun, kita akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung keputusan SPR mengekalkan jawatan Adun berkenaan," katanya ketika diminta mengulas keputusan itu semalam.
SPR memutuskan kerusi DUN Kota Siputeh kekal milik Adun Barisan Nasional (BN) itu selepas mendapati kegagalannya menghadiri dua mesyuarat berturut-turut tidak bercanggah dengan Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah (UTKNK).
Suruhanjaya itu mendapati mesyuarat yang tidak dihadiri oleh Abu Hassan bukan dua mesyuarat berturut-turut dalam satu penggal seperti yang didakwa oleh Speaker DUN Kedah, Datuk Abdul Isa Ismail, sebelum ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata ia adalah dua mesyuarat untuk dua penggal yang berbeza dan surat cuti sakit yang dikemukakan Abu Hassan kepada Speaker lebih awal sebelum 9 Ogos lalu tidak menyebabkan surat cuti sakit itu terbatal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan