Sabtu, 19 September 2009

25 maut, jumlah tertinggi kematian hari kelima Ops Sikap Ke-20

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Hari kelima Ops Sikap Ke-20 sempena Aidilfitri semalam menyaksikan 25 pengguna jalan raya maut iaitu jumlah kematian tertinggi sejak operasi itu bermula Ahad lalu.

Ia menjadikan angka korban jalan raya kini meningkat kepada 69 orang. Ini juga bermakna, secara puratanya, kira-kira 13 orang maut setiap hari sepanjang lima hari lalu.

Dengan berbaki 10 hari lagi sebelum Ops Sikap berakhir 27 September depan, angka korban akibat nahas jalan raya dijangka terus meningkat sekiranya pengguna jalan raya masih berdegil dan tidak mengubah cara pemanduan mereka.

Semalam, lima orang terbunuh dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer 76, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, Kelantan.

Sebanyak 11 lagi kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal, lapan pengguna kereta, masing-masing dua lori dan van, seorang pejalan kaki dan jip.

"Secara keseluruhannya, jumlah kemalangan yang dilaporkan meningkat kepada 1,398 kes berbanding 1,222 kelmarin.

"Kemalangan paling banyak berlaku di jalan bandaran iaitu 605 kes diikuti jalan Persekutuan (373), jalan negeri (206), lebuh raya (167) dan lain-lain jalan (47)," menurut statistik itu.

Tindakan penguatkuasaan juga diteruskan dengan sebanyak 11,781 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Tiada ulasan: