Oleh Mohd Sayuti Omar
Hari ini 20,000 pengundi berdaftar di Permatang Pasir akan keluar bagi memilih siapakah antara dua anak 'Man', Mohd Salleh Man dengan Rohaizat Othman yang akan menjadi wakil mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Mereka akan memilih wakil bagi menggantikan Aallahyarham Mohd Hamdan Abd Rahaman yang meninggal dunia pada 31 Julai lalu. Apakah calon Pas, Ustaz Mohd Salleh akan dipilih sebagai menyambung tugas-tugas Hamdan yang belum selesai ataupun pengundi Permatang Pasir akan berubah selera memilih wakil UBN, Rohaizat sebagai wakil mereka yang baru?
Kempen kedua-dua pihak dirasakan sudah sampai ke kemuncaknya. Segala strategi yang diracangkan sudah pun dilaksanakan seampuh mungkin. Calon masing-masing juga sudah diperkenalkan. Peribadi calon sudah pun dihafal dan diketahui oleh pengundi Permatangan Pauh. Apa-apa yang tidak terungkit mengenai perwatakan, peribadi kedua-dua calon sudah pun terselak. Semuanya didedahkan bagaikan terselaknya kelambu di dalam bilik tidur yang penuh kerahsiaan.
Dalam pilihan raya kecil ini tidak ada isu baru yang ditimbullah oleh kedua-dua pihak, melainkan mengulangi isu-isu lama. Isu nasional masih berkisar kepada soal ketidakadilan kerajaan dan juga kerakusan dalam menggunakan kuasa seperi akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), penggunaan SPRM untuk mengekalkan kuasa UBN serta isu bahasa Melayu - PPSMI yang belum total berakhir.
Manakala isu lokal berkisar kepada pembangunan setempat, masalah rakyat miskin, kemudahan jalan raya, eletrik dan sebagainya dan mengenai ketidakupayaan Pakatan Rakyat dalam membela rakyat. Isu-isu ini dibangkikan oleh pihak UBN.
Kerana kekurang isu-isu besar itu menyebabkan pilihan raya ini nampak biasa saja dan tidak hangat. Bagaimana pun pilihan raya ini tetap membawa signifiken tersendiri. Hakikatnya ia mencerminkan masa depan Pakatan Rakyat dan UBN. Kemenangan bagi Pakatan Rakyat menunjukkan pengaruh mereka tidak bergoyang dan ini petanda bahawa Pakatan khasnya Anwar Ibrahim masih teguh dan beraura. Adu domba UBN terhadap Pakatan Rakyat untuk melihat pakatan itu relai satu persatu seperti di Perak ternyata gagal.
Manakala kemenangan Pakatan itu nanti bakal memberi kesan kepada UBN. Bahawa projek 1 Malaysia yang dilancarkan oleh taukeh baru UBN, Mohd Najib Razak tidak diterima rakyat.
Sehubungan itu juga langkah UBN memburukkan Anwar sebagai pengkhianat bangsa juga tidak diterima oleh rakyat. Kemenangan Pas nanti mengesahkan bahawa Anwar masih hero kepada pengundi Permatang Pasir khususnya dan melihat wajah lain sebenarnya pengkhianat!
Baik UBN dan Pakatan Rakyat sudah kekeringan modal dan terpaksa mengulangi perkara lama. Mungkin kerana kekerapan berlaku pilihan raya kecil (sudah enam kali) menyebabkan keduanya merasa sudah tidak begitu ghairah dan menyebabkan isu-isu juga sudah kekeringan. Isu yang dimainkan dalam beberapa pilihan raya lalu tidak relevan lagi untuk ditimbulkan tetapi masih tetap juga kedengaran.
Ternyata isu peribadi kali ini mendominasi pilihan raya kecil kali ini. Pas bernasib baik kerana masalah mengenai diri Rohaizat berhubung firma guamannya yang dibatalkan lesen kerana melakukan penyelewengan wang pelanggan dan isu isteri muda disembunyikan menjadi isu yang digemari oleh pengundi. Walaupun isu itu bersifat personal terutamanya kahwin dua, nampaknya isu itu benar-benar menjadikan Rohaizat goncang. UBN menggeletar apabila rahsia peribadi yang amat peribadi ini terdedah.
Penampilan rakan kongsi firma guaman Rohaizat sendiri, Yusri Ishak benar-benar membantu Pas dalam merealisasikan isu ini. Kalau Yusri tidak tampil menjelaskan bagaimana penyelewengan berlaku mungkin ia sukar untuk dipercayai kerana bukti ditampil sebelum ini boleh dinafikan oleh pihak UBN. Walaupun disaat akhir Yusri telah 'konar baring' dengan menyokong Rohaziat memuji sebagai orang baik, tetapi ia tidak membawa apa-apa erti lagi. tindakan Yusri itu sudah terlewat, sia-sia dan dirasakan aneh.
Tuduhan dan kerja-kerja jelek memburuk Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat oleh UBN secara melampau tidak banyak menguntungkan UBN. Tuduhan kononnya tok guru itu menuduh ahli Umno tidak masuk ke syurga, membalun UBN sendiri. Mulanya isu itu menimbulkan kemarahan umat Islam tetapi bila UBN gagal mengemukakan transkrip sebenar cakap-cakap Nik Azi itu menyebabkan isu memakan UBN balik. Langkah Nik Aziz menyaman tiga akhbar yang menyiarkan laporan Bernama yang membuat celaan itu menyebabkan rakyat kembali yakin bahawa caka-cakap dan pandangan agama Nik Aziz diputar belitkan secara kering dalam soal ini.
Demikian juga pengumuman Adun Lunas, Mohd Radzhi Salleh keluar dari PKR tidak memberi markah tinggi kepada UBN. Umum sudah memahami kenapa Mohd Radzhi membuat tindakan itu kerana ingin melepaskan dirinya dari lingkaran neraka ciptaan Umno. Apapun alasan yang Radzhi berikan rakyat tidak akan percaya kerana sudah ada precedent sebelum ini di mana ada wakil rakyat berpaling tadah kerana hendak selamatkan nnyawa.
Manakala keseluruhan perjalanan pilihan raya Permatang Pasir ini baik dan bersih, tiak ada ketegangan dilaporakn. Kecuali di hari penamaan calon melibatkan ahli Parlimen Padang Serai, Gobalakhrisnan berlagak macam bobon mabuk tuak agak mendukacitakan. Tetapi bagi orang yang memahami siapa dia Gobalkrishnan tidak pedulikan apa yang berlaku. Penahanan Global oleh polis sessuatu tindakan yang wajar disokong.
Bedasarkan senerio itu tadi, pada analisa rawak saya Pas tidak perlu risau dengan keputusan pilihan raya itu esok. Kalau Pas tidak dapat mengekalkan majoriti 5,433 yang diraih dalam pilhan raya umum 2008 lalu tetapi Pas sudah tentu akan dapat mengekal undi asasnya seperti mana diperolehi tahun 2004 dulu sebanyak 679 undi.
Kalau pun benar berlaku gelombang pengundi Melayu kembali semua kepada Umno, namun Pas masih bernasib baik kerana tetap mendapat kepercayaan undi Cina. Peratus pengundi bukan Melayu di Permatang Pasir ialah 27 peratus dan dipercayai Pas menguasai lebih 60 peratus. Keadaan ini menyebabkan Pas setidak-tidaknya akan menang dengan jumlah majoriti lama itu.
Kesimpulannya kemenangan Pas dengan majoriti di bawah 1,000 ia tidak menjadikan Pas kalah namun jumlah undi itu memberi isyarat besar kepada Pakatan bahawa arus 1 Malaysia yang dijaja Najib kini mungkin sudah mula bergerak. Sebaliknya kalau Pas menang dengan majoriti 3,000 ke atas ini bernama segala isu, cakap-cakap, pembaharuan dan semangat 1 Malaysia yang dibawa Naib dan armadanya itu tidak terhingin oleh rakyat Malaysia dan mimpi untuk terus berkuasa selepas pilihan raya umum ke-13 kelak bolehlah dibungkus!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan