Isnin, 3 Ogos 2009

Kerajaan Pusat sedia RM12b perkasa prasarana luar bandar

BERITA HARIAN ONLINE


PELABUHAN KLANG: Kerajaan Pusat memperuntukkan antara RM8 bilion hingga RM12 bilion bagi memperkasakan prasarana luar bandar dan pedalaman di Semenanjung, Sabah serta Sarawak, selaras enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata beberapa sasaran sudah digariskan untuk dicapai dalam tempoh dua atau tiga tahun menjelang 2012.

Beliau berkata, antara pembangunan prasarana itu termasuk pembinaan dan menaik taraf jalan sepanjang 1,500 kilometer di seluruh negara, pembinaan 50,000 rumah untuk penduduk miskin tegar, bekalan elektrik dan air bersih kepada penduduk luar bandar serta pedalaman.

“Kita juga akan naik taraf jalan tanah merah dan bagi kawasan yang tidak ada jalan, kita akan bina jalan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat Umno bahagian Klang, di sini, semalam.

Mohd Shafie berkata, sesetengah projek itu dimulakan tahun ini dan ia akan rancak dilaksanakan tahun depan termasuk pembinaan rumah untuk rakyat miskin tegar.

“Ketika ini, kira-kira 13,000 rumah untuk rakyat miskin tegar sudah dibina,” katanya.

Tiada ulasan: