Sabtu, 22 Ogos 2009

Berdosa labelkan orang Islam sebagai kafir, kata Dr. Mahathir

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata adalah berdosa bagi seorang Islam untuk melabelkan orang Islam yang lain sebagai kafir.

"Kalau kita tuduh seorang yang Islam itu kafir, orang yang menuduh itulah yang jadi kafir.

"Itu kita kena tengoklah, sama ada dia punya hati kecil dapat yakinkan dia, yang dia tidak berdosa. Saya ingat dia berdosa," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat Isnin lepas yang mendakwa ajaran Islam yang diamalkan Umno tidak boleh membawa anggota dan penyokong parti itu ke syurga.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan pameran "Tampannya Budi" di Balai Seni Lukis Negara di sini semalam, Dr Mahathir berkata orang Melayu merupakan satu-satunya bangsa di dunia yang mengaitkan bangsa mereka dengan agama yang dianuti iaitu Islam.

"Seluruh dunia, saya ingat iktiraf orang Melayu sebagai orang Islam. Inilah satu bangsa yang dikaitkan bangsanya dengan agama. Seorang itu tidak Melayu kalau dia tidak Islam," kata bekas perdana menteri.

Dr Mahathir yang merupakan Presiden Yayasan Kepimpinan Perdana turut mengingatkan orang Melayu supaya jangan hanya berpegang kepada pepatah Hang Tuah iaitu "Takkan Melayu Hilang di Dunia".

Mereka sebaliknya perlu berusaha untuk meningkatkan nilainilai dan keupayaan (dalam menandingi dan bersaing dengan bangsa lain di dunia ini, katanya.

"Apa yang dikatakan oleh Hang Tuah itu, kalau kita (orang Melayu) dok fikir kita tak hilang di dunia, kita tak payah berusaha pun. Akhirnya kita akan merosot dan menjadi hamba orang lain. Kalau kita tak usaha, apa jenis Melayu yang tak hilang," katanya.

Pameran itu melibatkan 127 pelukis dan 163 buah karya bertemakan pantun, syair, gurindam, seloka, pepatah Melayu lama dan peribahasa.

Tiada ulasan: