Khamis, 2 Julai 2009

Usaha Ambil Alih Industri Air Selangor, Semakin Positif

MURIZA ABDUL HAMID


SHAH ALAM - Usaha penstrukturan semula perkhidmatan industri air di Selangor mula menampakkan perkembangan positif.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, salah sebuah syarikat konsesi iaitu Konsortium Abass Sdn Bhd (Abass) telah bersetuju menerima tawaran harga kerajaan negeri sebanyak RM946 juta.

“Kita berterima kasih kepada Abass di atas keputusan ini kerana ia membolehkan kerajaan negeri memberikan perkhidmatan air yang lebih baik serta murah kepada rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya”,katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di sini, petang tadi.

Menurutnya, rundingan bersama dua syarikat yang lain iaitu Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Syarikat Bekalan air Sdn Bhd (Syabas) masih lagi dalam proses perbincangan.

“Kerajaan negeri berharap, rundingan ini dapat mencapai penyelesaian dalam masa terdekat”,jelasnya sambil berharap isu-isu berkaitan sub - kontrak yang melibatkan Splash juga dapat diselesaikan.

Sementara Syabas, katanya sedang menantikan keputusan daripada Kerajaan Persekutuan berhubung tawaran yang dibuat oleh kerajaan negeri untuk membeli aset dan ekuiti syarikat itu.

Tambah beliau, setakat ini hanya Puncak Niaga Holding Berhad sahaja yang menolak tawaran tersebut.

“Walaubagaimanapun keadaan ini tidak akan melemahkan kesungguhan kerajaan negeri dalam usaha penstrukturan semula industri air di Selangor”,katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri melalui jawatankuasanya akan terus membincangkan langkah sewajarnya dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, walaupun banyak isu teknikal yang perlu diatasi.

“Namun begitu, kerajaan negeri tetap berpandangan positif terhadap keputusan mereka”, katanya.

Dalam penstrukturan semula industri air itu, Kerajaan Negeri tetap dengan pendirian untuk menawarkan sejumlah RM5.7 bilion untuk mengambil alih pengurusan keempat-empat syarikat konsesi iaitu ABBAS, Splash, Puncak Niaga dan Syabas.

Tiada ulasan: