Rabu, 15 Julai 2009

Siasatan kes bumbung runtuh siap 90 peratus

UTUSAN ONLINE


KUALA TERENGGANU - Siasatan kejadian bumbung Stadium Sultan Mizan di Gong Badak runtuh pada 2 Jun lalu kini 90 peratus siap.

Pengarah (Bahagian Perisikan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohd. Jamidan Abdullah berkata, laporan siasatan itu dijangka diketahui dalam tempoh terdekat.

Beliau memberitahu, siasatan itu dibuat secara menyeluruh dan beberapa saksi termasuk kontraktor projek berkenaan serta individu tertentu telah dipanggil bagi membantu siasatan.

Mohd. Jamidan bagaimanapun tidak menjelaskan jumlah mereka yang dipanggil untuk siasatan serta siapa individu terbabit.

"Kita lakukan siasatan secara menyeluruh membabitkan semua pihak," katanya selepas menyempurnakan majlis penutupan Seminar Integriti Dalam Pengurusan Alam Sekitar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Peringkat Zon Timur 2009 di sini hari ini.

Beliau ditanya hasil siasatan SPRM berhubung kejadian sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang runtuh kira-kira pukul 9.30 pagi pada 2 Jun lalu.

Runtuhan melibatkan bumbung di bahagian timur stadium bernilai RM292 juta itu yang menempatkan pintu masuk utama, pintu A, B dan B1 ke tempat duduk awam serta bumbung tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan.

Bumbung yang runtuh itu menimpa sebuah kereta Perodua Kancil dan tiga buah motosikal, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Minggu lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, hasil siasatan awal kejadian itu dijangka diketahui tidak lama lagi.

Menurut beliau, siasatan masih dijalankan oleh jawatankuasa penyiasatan di peringkat pusat.

Tiada ulasan: