Selasa, 21 Julai 2009

Lagi ‘Datuk’ terbabit along akan ditahan

Oleh Petah Wazzan Iskandar


KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan beberapa lagi individu bergelar ‘Datuk’ akan ditahan tidak lama lagi kerana terbabit dalam kegiatan along yang disifatkan jerung besar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin, berkata semua suspek yang kebanyakannya dikenal pasti beroperasi di selatan negara.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati mereka bukannya dari satu sindiket tetapi kumpulan yang beroperasi secara berasingan.

“Saya tidak akan mendedahkan lebih lanjut kes ini termasuk identiti mereka kerana ia dikhuatiri boleh mengganggu siasatan.

“Bagi kami sedikit masa kerana kes ini perlu disiasat secara teliti sebelum sebarang tindakan dapat dilakukan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bukit Aman di sini, semalam.

Baru-baru ini, enam ‘kepala’ along termasuk empat ditahan dipercayai turut terbabit dalam jenayah pemerasan, pelacuran, pengedaran dadah antara bangsa serta berkemungkinan juga terbabit dalam politik.

Semua lelaki termasuk seorang bergelar ‘Datuk’ yang berusia 30 hingga 56 tahun itu yang dari kumpulan berbeza dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket antarabangsa.

Dalam perkembangan lain, Bakri berkata, pihaknya mendapati anggota Geng Deva yang terbabit dengan beberapa siri rompakan van keselamatan masih berada di luar negara.

“Kita sudah mengenal pasti siapa mereka dan kumpulan ini juga terbabit dengan rompakan wang pengurup wang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tahun lalu,” katanya.

Awal April tahun lalu, lima pekerja pengurup wang dan seorang anggota polis cedera ditembak sekumpulan perompak yang melarikan wang berjumlah S$1.5 juta (RM3.5 juta) dalam satu rompakan bersenjata di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang.

Sehubungan itu, polis masih memburu enam individu termasuk seorang wanita untuk membantu siasatan.

Tiada ulasan: