Selasa, 21 Julai 2009

Vaksin H1N1 diperoleh akhir tahun

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Vaksin selesema babi atau influenza A (H1N1) dijangka mula berada di negara ini pada penghujung tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kerajaan telah membuat tempahan pantas bagi mendapatkan bekalan tersebut.

"Vaksin hanya akan siap pada akhir tahun tetapi kerajaan telah membuat penempahan awal," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Kempen Kebersihan Awam Bagi Menangani Pandemik Influenza A (H1N1) peringkat kebangsaan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha dan timbalannya, Datuk Seri Lajim Ukin.

Tambah Tiong Lai, kerajaan belum memutuskan sama ada pemberian vaksin secara massa kepada penduduk negara ini perlu dilakukan pada masa ini.

Namun, katanya, 200,000 pekerja barisan hadapan seperti doktor dan jururawat akan menjadi kumpulan pertama menerima pelalian penyakit itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga 8 pagi ini, 874 kes influenza dilaporkan di negara ini dengan 567 kes import dan 307 jangkitan tempatan.

"Tiada kematian dilaporkan setakat ini," katanya.

Mengulas keadaan seorang pesakit H1N1 yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sungai Buluh beliau berkata, pesakit berkenaan kini stabil.

Tambah beliau, untuk membendung pandemik H1N1 di negara ini, maka aktiviti kawalan dan pencegahan sedia ada perlu diperkukuhkan lagi melalui tiga prinsip pelaksanaan ke arah mitigasi kawalan wabak.

Prinsip pertama, kata beliau, adalah tindakan kawalan perlu diambil oleh individu dan masyarakat.

"Aktiviti menjarakkan sosial, mengurangkan perjumpaan, etika batuk, kebersihan tangan dan pengudaraan dalam rumah yang baik adalah berkesan untuk memperlahankan penularan penyakit dalam masyarakat," katanya.

Prinsip kedua, kata beliau, memberi keutamaan kepada kes-kes berisiko untuk rawatan di hospital manakala kes-kes ringan atau tanpa komplikasi dirawat sebagai pesakit luar dan dibolehkan tinggal di rumah.

Prinsip ketiga pula, katanya, memastikan sistem penyaringan di fasiliti kesihatan dan perubatan termasuk pengawalan jangkitan diteruskan dan diperkukuhkan.

"Rawatan anti viral diutamakan kepada pesakit yang berisiko serta penggunaan alat perlindungan diri kepada pesakit dan pekerjaan kesihatan," katanya.

Tiada ulasan: