Jumaat, 3 Julai 2009

H1N1 terus menular di SM Tsun Jin

MALAYSIA KINI


Tiga lagi pelajar SM Tsun Jin, Kuala Lumpur yang ditutup hingga hari ini terkena jangkitan tempatan kes selesema A (H1N1) daripada 47 kes baru, menjadikan jumlah keseluruhannya 291 kes.

Semalam, lima orang pelajar sekolah tersebut tersenarai dalam kes tempatan, manakala kelmarin tiga kes direkodkan di pusat pengajian itu yang diarah ditutup sejak Isnin lalu bagi mengawal penularan wabak.

Awal minggu ini dua pelajar sekolah tersebut, yang tiada rekod perjalanan ke luar negara, mengalami jangkitan tempatan wabak tersebut.

Akibat penularan tempatan terbaru terhadap dua murid lagi, dua buah sekolah lain diarah menutup kelas terbabit sehingga Khamis depan.

Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata jumlah kes terbaru itu, 28 daripadanya melibatkan rakyat Malaysia, selebihnya Indonesia (sembilan orang), Australia (5), Filipina (2) dan masing-masing satu dari Botswana, Iraq dan Amerika Syarikat.

Daripada enam kes tempatan yang direkodkan hari ini, tiga lagi kes melibatkan jangkitan kes import.

Seorang daripadanya dijangkiti daripada kes ke-143, gadis Malaysia 18 tahun yang pulang dari United Kingdom pada 26 Jun.

Seorang pelajar SK Setapak Indah, Kuala Lumpur dijangkiti daripada kes ke-147, seorang pelajar lelaki 25 tahun yang melawat Jakarta bersama sembilan rakan antara 18 hingga 21 Jun lalu.

Seorang lagi bersekolah di Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka, Cheras yang merupakan kontak kes ke-170, seorang pelajar 20 tahun yang menuntut di Victoria, Australia dan pulang bercuti di tanah air pada 28 Jun lepas.

"Dua buah sekolah terbaru itu telah diarah menutup kelas terbabit sehingga Khamis (minggu) depan, dan murid-murid yang terlibat akan diberi arahan kuarantin oleh Pejabat Kesihatan Daerah," kata Dr Mohd Ismail.

Sekolah Antarabangsa Sri Cempaka, yang ditutup selama seminggu, dibuka semula mulai Isnin lalu.

Tiada ulasan: