Selasa, 14 Julai 2009

Dua didakwa memperdagang wanita

BERNAMA

BUTTERWORTH: Seorang lelaki tempatan dan seorang wanita rakyat China dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan memperdagangkan seorang gadis berusia 17 tahun.

Kedua-dua tertuduh, Choong Loke Kiang, 49, dari Taman Boundry, Pulau Pinang dan rakyat China, Yang Wenna, 23, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu bersama beberapa orang lain yang masih bebas di sebuah bilik di Hotel Pearl View, Jalan Baru, di sini, antara pukul 1 petang dan 8 malam, 26 Jun.

Pertuduhan mengikut seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 itu, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Yang diwakili peguam Calvin J. Augustine dan Choong tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim memohon hakim Julie Lack Abdullah tidak memberikan sebarang ikat jamin kerana ia adalah satu kesalahan serius dan mungkin membabitkan sindiket tempatan.

Bagaimanapun, Julie menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin untuk Choong dan mengarahkan pasportnya diserah kepada mahkamah manakala jaminan terhadap Yang tidak dibenarkan kerana dia adalah rakyat asing.

Beliau menetapkan 28 Julai untuk sebutan semula kes.

Tiada ulasan: