Rabu, 18 Mac 2009

Ops Lalang 3 bermula!

ciklee


Persidangan Agung Umno(english) atau dalam bahasa melayunya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu(Pekembar) hanya menghitung hari untuk dimulakan. Maka berdebar-debarlah calon-calon yang bertanding menanti hari perhitungan. Para perwakilan akan menjadi tumpuan kerana merekalah bakal penentu siapa yang akan memimpin dan menerajui Umno. Mungkin yang amat dinanti itu bukanlah apa agenda dan resolusi yang akan dibahaskan, tetapi berapa nilai dan ongkos yang disediakan oleh calon-calon yang bertanding.

PPMSI? Persetankan sahaja. Hidup Melayu? Sekadar cogankata sahaja. Anak-anak muda Melayu terus hanyut tanpa ada tindakan serius daripada menteri yang berkuasa. Yang dititikberatkan hanyalah hiburan. Dengan membiarkan hiburan menghantui anak-anak muda, maka mereka yakin akan terus dapat berkuasa. Belanjawan? Berapa yang akan tiris kepada rakyat-rakyat marhaen golongan bawahan. Keutamaan sudah pasti syarikat gergasi yang mempunyai kaitan dengan tokoh-tokoh korporat tertentu.

Politik wang atau bahasa sebenarnya iaitu rasuah sudah sinonim dengan parti ini. Ibarat irama dan lagu, ia tidak mungkin dapat dipisahkan. Jika dipisahkan maka sumbanglah lagu. SPRM? Jangan buat lawak antarabangsa. Ia hanyalah tempelan untuk mengintai peluang mendakwa salah laku parti lawan. Tidak kiralah apa sahaja yang boleh digunakan - gunakan sahaja. Lembu? Kereta? Kalau terkena parti ini, pejamkan sahaja. Maka tidak hairanlah jika mantan ketuanya siang malam membebel kerana gejala ini. Kerana daripada 900 aduan yang dilaporkan tiada satu pun yang tersangkut. Macam la tiada ia tahu, bahawa yang mencambahkan politik wang itu adalah dirinya jua.

Kerana terlalu sinonim dengan politik wang - dan sesiapa sahaja boleh melakukan jika ada wang maka strategi kedua dilakukan iaitu menebas pihak lawan. Ia bukanlah strategi yang baru kerana ia pernah digunakan oleh mantan ketuanya. Dengan strategi inilah bukan satu, bukan dua, bahkan tiga timbalannya berjaya ditebas dan dicantas. Jadi seperti kata bidalan, jika cikgu kencing berdiri maka anak murid akan kencing berlari.

Justeru terdapat bermacam-macam laporan pelik yang boleh dibaca semenjak dua tiga hari ini. Maka tidak hairanlah jika tiba-tiba nama Norza menjadi glamour. Malangnya ini bukan bermakna bintangnya bergermelapan tapi terus jadi gelap. Tapi yang peliknya tak ada pula dinyatakan tuduhan dalam berita hairan atau utusan meloya mengatakan ini perbuatan Pakatan Rakyat. Memang bukan pun kerana ia adalah strategi daripada kawan-kawan Norza sendiri.

Begitu juga dengan nama Azalina. Tiba-tiba saja boom! Ini kerana tiba-tiba sahaja setiausaha politiknya dikejar oleh SPRM. SPRM ini pun satu, takkan kawan pun nak makan kawan. Oh! Dia tak ada geng ke? Patutlah. Tiba-tiba ditangkap dengan RM100,000 dalam kereta. Itu baru satu kali jumpa. Tapi rasanya jumlah itu pun tak adalah banyak mana. Pasal setahu saya calon-calon dalam parti ini semua kaya-kaya. Berduit belaka! Jadi mantan ketua tak payahlah bising-bising. Siapa yang sibuk buat sistem kuota? Siapa yang sibuk korporatkan negara? Sepatutnya dia bangga kerana apa yang ditanam dah membuahkan hasil!

Jadi kalau sekadar gambar bogel tiba-tiba tersebar, itu tak pelik. Seperti mana Pak Bakaq cakap pasal foto panas dan “stupid pictures of Malaysian politicians and their family breaking the laws they imposed on others”. Maksudnya cerita itu sengaja di paparkan pada masa ini kerana pemilihan sudah semakin dekat. Maka orang itu akan menjerit saya hanyalah mangsa! Kita lihat sahajalah samada jaguh Melayu ini dapat bertahan atau terpaksa hanyut. Rasa saya tidak, kerana beliau lagi hebat daripada Chua Soi Lek. Seingat saya, suatu masa dahulu beliau pernah berdebat dengan Salahuddin Ayub perihal Sekolah Agama Rakyat. Seperti biasa, apa yang parti dia buat semua betul.

Jadi kalau timbalan Presiden pun nak kena gugur, sama sahaja! Tak ada apa-apa maknanya. Mereka sama sahaja. Bezanya, siapa pandai boleh jadi pemimpin. Siapa banyak wang dia menang! Pandai ke tak pandai belakang kira. Jadi kita nilailah sendiri. Janganlah terpegun dan terlopong sangat bila nampak orang angkat keris. Banyak lagi drama tengah menanti. Mungkin juga Pah Faridah akan turut bermain silap mata kerana awal-awal lagi dia tak suka timbalannya melawan tauke. Jadi, jangan lupa kita terus menonton wayang. Tayangan Perdana di negara ini sahaja.

Tiada ulasan: