Selasa, 3 Mac 2009

MB Perak peroleh perintah mahkamah halang Speaker panggil sidang DUN

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI, 6 PETANG]


IPOH: Menter Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir memperoleh perintah Mahkamah Tinggi bagi menghalang Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada memanggil sebarang persidangan dewan itu lagi.

Perintah itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim setengah jam lalu selepas mendengar permohonan baru yang dikemukakan oleh pasukan peguam Zambry dan enam Exco yang lain pagi tadi.

Mahkamah mendengar permohonan baru itu, yang dikemukakan pagi tadi, kira-kira sejam setengah bermula pukul 3 petang tadi.

Kemudian pasukan peguam memasuki semula kamar Ridwan dan keputusan diumumkan kira-kira 4.45 petang.

Ketua pasukan peguam Zambry, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin berkata, ia merupakan satu bentuk perintah, bukannya injunksi, bagi membolehkan Menteri Besar menghalang Speaker daripada mengadakan lagi sidang DUN yang tidak sah.

PERKEMBANGAN KRISIS POLITIK PERAK HARI INI

- Mahkamah Tinggi memberi perintah bagi menghalang Speaker daripada memanggil sidang DUN yang tidak sah.

- ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim, dan ADUN Pantai Remis, Nga Kor Ming membuat laporan polis berasingan terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Abdul Rahman Hashim dan Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Azisman Alias kerana didakwa menghalang mereka dan 26 ADUN yang lain daripada memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan pagi tadi.

- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar mengadakan sidang tergempar di kawasan tanah lapang kira-kira 200 meter dari bangunan Setiusaha Kerajaan Negeri.

- Sidang tergempar meluluskan tiga usul iaitu meminta supaya DUN dibubarkan, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin kekal sebagai Menteri Besar dan mengiktiraf keputusan Speaker menggantung Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco lain.

- Mahkamah Tinggi Ipoh menolak pasukan peguam swasta mewakili Speaker.

- Dalam kes saman yang difailkan Dr Zambry dan enam Exco, Speaker diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri.

- Pasukan peguam Dr Zambry dan enam Exco mengemukakan permohonan tambahan pagi ini - dipanggil relief sampingan - bagi mendapatkan perintah injuksi melarang sebarang mesyuarat DUN yang tidak sah diadakan.

- Mahkamah akan mendengar perintah tambahan ini pada pukul 2.30 petang.

- Nizar akan memohon menghadap Sultan Perak untuk meminta perkenan baginda bagi membubarkan DUN.


BERITA TERDAHULU

2 pokok saksi sidang DUN, mahkamah sambung sesi petang

[DIKEMAS KINI, 4.15 PETANG]

IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh sedang mendengar hujah plaintif - Menteri Besar Perak dan enam Exconya - yang mengemukakan permohonan baru pagi ini untuk memperoleh perintah injuksi melarang mana-mana pihak mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) secara tidak sah.

Permohonan relief sampingan itu merupakan tuntutan tambahan daripada saman yang difailkan petang semalam.

Sesi itu bermula pukul 2.30 petang tadi.

Mahkamah mendengar hujah tersebut selepas pukul 10.30 pagi tadi menolak pasukan peguam swasta dilantik Speaker, V. Sivakumar untuk mewakilinya.

Malah pada waktu serentak sebelah pagi tadi, Dewan Undangan Negeri (DUN) mengadakan sidang tergempat dengan meluluskan tiga usul termasuk meminta pembubaran DUN.

Sidang tergempar itu diadakan di tepi jalan sebatang pokok di kawasan Medan Istana, yang terletak kira-kira 50 meter dari bangunan SUK.

Selain syor pembubaran DUN, dua usul yang lain menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar dan mengesahkan keputusan Speaker V. Sivakumar melarang Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

Persidangan itu, yang berlangsung selama 30 minit bermula 10.20 pagi, dihadiri semua 27 ADUN PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Usul pertama dibentangkan oleh wakil rakyat Titi Serong, Khalil Idham Lim, usul kedua oleh ADUN Teja, Chang Lih Kang, dan satu lagi oleh ADUN Pantai Remis, Datuk Ngeh Koo Ham. Mesyuarat itu ditangguhkan pada 10.33 pagi.

Persidangan yang dipanggil oleh Sivakumar itu diadakan di situ selepas polis menghalang beliau dan 27 ADUN pembangkang daripada memasuki Dewan.

Persidangan yang berlangsung sambil wakil-wakil rakyat terbabit berdiri dan ia dijalankan dengan bantuan Setiausaha Dewan yang baru dilantik semalam, Mohd. Misbahul Munir Masduki, dengan penggunaan alat pembesar suara.

Kawasan persidangan yang berlangsung di sebuah lorong itu dipagari oleh sekumpulan penyokong pembangkang manakala lebih 200 orang berada di sekitar kawasan berkenaan.

Ia disusuli sidang akhbar di pejabat DAP Perak yang terletak berhampiran.

Pada sidang akhbar itu Mohammad Nizar berkata beliau akan memohon perkenan untuk menghadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah secepat mungkin bagi mempersembahkan keputusan Dewan hari ini untuk membubarkan DUN Perak.

Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Dewan, Abdullah Antong Sabri berkata, persidangan itu tidak sah kerana tidak mendapat perkenan Sultan Perak.

Ketika ditanya apakah tindakan seterusnya jika Sultan Azlan enggan memperkenankan pembubaran DUN, Nizar berkata, jika pembubaran dewan tidak dilaksanakan, ia akan hanya menyebabkan krisis perlembagaan kini berpanjangan sekaligus menjejaskan kestabilan politik, ekonomi dan sosial di Perak.

"Jadi, kami menyampaikan hasrat rakyat Perak agar Tuanku mendengar suara rakyat dan membubarkan dewan," katanya.

Apabila diberitahu bahawa beberapa ADUN dari Barisan Nasional mendakwa tidak menerima sebarang notis daripada Setiausaha Dewan mengenai persidangan hari ini, Nizar berkata, Speaker telah memaklumkannya kepada semua ADUN.

Ngeh pula meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Zambry supaya bersetuju dengan pembubaran dewan kerana, menurutnya, itu adalah satu-satunya penyelesaian segera terhadap masalah dan krisis yang berlaku kini.

Beliau berkata, laporan polis akan dibuat terhadap polis, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Rahman Hashim serta kakitangan awam yang terlibat menghalang sidang tergempar hari ini, kerana menghina.

Dalam pada itu, Keputusan penolakan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim selepas menemui kedua-dua pasukan pembela dan plaintif kira-kira 30 minit di kamarnya.

Alasan yang diberikan Ridwan adalah pasukan peguam yang dilantik Sivakumar tidak layak untuk mewakili Speaker tersebut.

Perkara itu diumumkan oleh ketua pasukan peguam Sivakumar, Tommy Thomas.

Kata beliau, mahkamah memutuskan bahawa di bawah peruntukan Akta Tatacara Kerajaan, Speaker hanya boleh diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri atau Jabatan Peguam Negara.

Dalam hal ini katanya, Speaker akan diwakili oleh Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid.

Dalam pada itu, sidang tergempar yang diadakan di kawasan lapang berdekatan bangunan SUK telah meluluskan tiga usul.

Usul-usul tersebut adalah berkaitan Datuk Seri Mohamad Nizar Jalamaluddin kekal sebagai Menteri Besar dan memohon Sultan untuk membubarkan DUN.

Kedua-dua perkembangan ini berlaku serentak kira-kira pukul 10 hingga 10.30 pagi.

Tiada ulasan: