Selasa, 3 Mac 2009

Keputusan saman Nizar diputus Jumaat ini

MSTAR ONLINE


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan 6 Mac ini untuk menentukan sama ada keputusan saman bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin terhadap Datuk Dr Zambry Abdul Kadir akan didengar di Mahkamah Persekutuan.

Kes itu diambil alih oleh Hakim Lau Bee Lan selepas enam hari Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Ariff Md. Yusof menarik diri daripada mendengar permohonan tersebut.

Pada 25 Februari lalu, Mohamad Ariff menarik diri daripada mendengar permohonan itu demi kepentingan keadilan ekoran daripada latar belakangnya yang pernah terlibat dalam parti Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum dilantik menjadi hakim.

Mohammad Nizar, 52, daripada parti Pas dipilih menjadi Menteri Besar Perak selepas pakatan pembangkang berjaya menawan negeri itu semasa Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac tahun lalu.

Politik di Perak bagaimanapun dilanda krisis apabila Barisan Nasional (BN) mengambilalih kerajaan negeri setelah BN mendapat sokongan daripada 31 anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) ekoran tindakan tiga ADUN keluar daripada Pakatan Rakyat.

Pada 13 Februari lalu, Mohammad Nizar telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah perisytiharan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah dan Zambry yang dinamakan sebagai responden tidak berhak memegang jawatan tersebut.

Tiada ulasan: