Khamis, 9 Julai 2015

Makhluk halus ada sifat dendam

Makhluk halus ada sifat dendam
 


PENCERAMAH, Mohd Zainudin Mohamed Zaini atau lebih dikenali PU Yeop berkata, makhluk halus sememangnya wujud dan sudah menjadi sebahagian tugasnya untuk mengganggu, menggoda, menghasut dan melalaikan manusia.

Katanya, sepertimana manusia, makhluk halus juga mempunyai sifat dendam apatah lagi apabila tempatnya diganggu oleh manusia.

“Jadi bila berlaku keadaan ini, mereka juga akan bertindak balas, boleh jadi kemalangan yang berlaku disebabkan gangguan, namun faktor utama pastilah disebabkan kecuaian kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata, agama Islam menganjurkan agar setiap umatnya sentiasa membentengi diri daripada gangguan seumpama itu.

“Antaranya, amalkan membaca ayat kursi pagi dan petang, memulakan doa menaiki kenderaan.

“Ada sesetengah kita ambil ringan soal doa ketika menaiki kenderaan tanpa kita tahu sebenarnya doa itu senjata yang boleh digunakan untuk mengubah takdir kita,” katanya.

Bagaimanapun jelas PU Yeop, setiap musibah yang diturunkan mempunyai hikmahnya.

Katanya, insiden sama ada membabitkan kematian atau kecederaan merupakan ujian kepada individu dan ahli keluarga itu sendiri.

“Boleh jadi ianya kaffarah dosa atau ALLAH nak bagi pahala dan tinggikan makam kita,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jalan maut: Faktor mistik atau sikap pemandu?]

Tambah pencahayaan di laluan berisiko

Pengarah Jabatan Keselamatan Kerja Raya (JKJR) Perak, Laila Mazwin Zakaria berkata, laluan Gopeng-Gua Tempurung antara yang kerap dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat peringkat negeri melibatkan jabatan itu, berikutan kadar kemalangan tinggi yang berlaku.

Menurutnya, sepanjang tempoh ini, JKJR bersama jabatan berkaitan sudah mengambil pelbagai pendekatan bagi mengurangkan kadar kemalangan.

Salah satunya adalah dengan menambah pencahayaan di sepanjang laluan bagi meningkatkan kadar penglihatan pemandu.

“Berdasarkan trend yang kita kaji sebelum ini, kebanyakan kemalangan berlaku khususnya pada waktu malam adalah akibat pelanggaran dari arah belakang, ini menunjukkan mereka tidak jelas dengan kedudukan objek di hadapan.

“Mungkin keadaan jalan berbukit dan kemudian menurun menyebabkan keadaan ini berlaku, terutama apabila kenderaan berat di hadapan, meskipun lori mahupun treler ini besar, tetapi lampu belakang mereka lebih kecil.

“Dengan bantuan pencahayaan ini, kita harap dapat membantu pengguna lebih peka dengan pemanduan masing-masing,” katanya.

Laila Mazwin berkata, melalui mesyuarat yang dipengerusikan PDRM pada 2013 lalu, semua jabatan yang bermesyuarat bersetuju mengesyorkan kepada kerajaan negeri untuk menambah lampu bagi memastikan lokasi lebih terang.

Katanya, atas usaha itu, bermula Februari lalu, sebanyak 240 tiang lampu dipasang di sepanjang laluan Kilometer 301 hingga 306 di kedua-dua arah lebuh raya berkenaan.

“Kita dapat maklum balas yang baik daripada pengguna dan saya difahamkan, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sedang membuat pemantauan kadar kemalangan, sama ada penambahan lampu jalan ini dapat membantu mengurangkan kadar kemalangan atau tidak.

"Di pihak JKJR sendiri, kita berpuas hati dengan perkembangan ini,” katanya.


Tiada ulasan: