Khamis, 9 Julai 2015

Idris: Jangan 'fitnah' Nik Aziz dan Fadzil Noor

MALAYSIAKINI



 
 
Naib Presiden PAS Idris Ahmad meminta pengkritik tidak "memfitnah" dua bekas pemimpin tertinggi mereka, Datuk Fadzil Noor dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila mendakwa parti itu menyimpang daripada haluan ditetapkan.

Dalam satu wawancara dengan Malaysiakini, Idris berkata adalah fitnah jika mengatakan Fadzil dan Nik Abdul Aziz tidak memberikan penekanan Islam ke dalam parti itu.

“Itu satu fitnah kepada dua orang tok guru kami yang sudah meninggal. Seolah-olah mereka ini tidak pentingkan soal Islam, tidak pentingkan soal dasar.

“Buku itu (perlembagaan parti) masih pakai, Majlis Syura tetap sama, kitab sama. (Untuk mengatakan bahawa kita sesat), itu fitnah la. Fitnah kepada dua orang tok guru tadi. Kasihan mereka,” katanya.

Menurut Idris, pihak yang mengkritik PAS ketika ini mungkin sudah terlupa bagaimana ketegasan Nik Abdul Aziz dan Fadzil ketika mereka masih hidup.

Fadzil adalah Presiden PAS sebelum Datuk Seri Abdul Hadi Awang, manakala Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan pernah menduduki jawatan Mursyidul Am parti berkenaan.

Fadzil meninggal dunia pada 23 Julai 2002, manakala Nik Abdul Aziz menghembus nafas terakhirnya di rumah beliau di Pulau Melaka, Kelantan pada 12 Februari lalu.

Idris berkata, kritikan yang diterima PAS ketika ini adalah kritikan biasa daripada puak progresif yang sedang menimbang untuk menubuhkan sebuah parti baru.

Mereka turut mendakwa pemikiran PAS tertutup di bawah Abdul Hadi .

Idris berkata, keadaan itu berlaku kerana terdapat persepsi bahawa ulama dalam PAS lebih mengutamakan akhirat daripada menang dalam politik.

“Itulah tuduhan ke atas Tok Guru Nik Aziz dulu ketika jadi menteri besar pada 1990 oleh Umno… Sekarang ini pula diambil alih oleh orang yang kononnya mereka anti-Umno. Rupanya mereka ni ambil hujah-hujah Umno yang dipakai pada 1990 dulu,” katanya.

Idris berkata, terdapat banyak persepsi negatif terhadap PAS, namun ia hanyalah "persepsi".

"Itu sebabnya apabila kita telah menutup pintu mesyuarat, kita biarkan mereka memperkatakan apa yang mereka tidak berpuas hati. Kita tidak ada masalah dengan menjawab, dan kadang-kadang apa yang mereka katakan adalah semua persepsi," katanya.

Idris yang dilantik sebagai pengerusi Harakah baru-baru ini berkata, sekiranya PAS hanya mengutamakan akhirat dan tidak mahu memenangi pilihan raya, mereka sudah tentu menyertai tabligh dan tidak perlu berjumpa media.

Malah kata MP Bukit Gantang itu lagi, jangan ada di fikiran bahawa orang yang mempunyai latar belakang jurusan agama tidak boleh mentadbir.

Sebaliknya, dalam PAS sendiri menerima golongan profesional yang ada di antara mereka memegang jawatan dalam parti itu.

Beliau turut menyelar pengkritik Hadi dengan berkata: “Kalau nampak Tok Guru Hadi minum teh (dengan Umno) tak boleh tapi orang lain tak apa. Najib ziarah Tok Guru Hadi tidak boleh tapi orang lain tak apa.

“Ini politik yang naif. Kalau macam ini cara mereka berfikir, jadi siapa yang konservatif, bukan ulama (yang konservatif),” katanya.
 
 

Tiada ulasan: