Khamis, 9 Julai 2015

Empat rakan maut kemalangan libat tiga kereta

SINAR HARIAN


kemalangan
Gambar hiasan


ALOR GAJAH - Empat rakan maut dalam kemalangan melibatkan tiga buah kereta di Jalan Bukit Putus, Tebong di sini petang tadi, kata polis.
  
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata ketiga-tiga mangsa iaitu Mohammad Isa Ismail, 27; Nurul Azwa Syareza Tuzri, 21; dan Nur Fazira Ahmad Man, 19, meninggal dunia di tempat kejadian.
  
Beliau berkata seorang lagi mangsa iaitu Nur Haizam Mohd Zamri, 19, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tampin di Tampin, Negeri Sembilan pada jam 6.30 petang tadi.
  
"Dua lagi mangsa kemalangan itu yang masing-masing pemandu kedua-dua kereta tersebut tidak cedera," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Katanya kejadian dipercayai berlaku pada 4.15 petang apabila kereta dipandu Mohammad Isa dan dinaiki tiga rakannya, Nurul Azwa Syareza, Nur Fazira dan Nur Haizam dari arah Tampin ke Gemencheh, Negeri Sembilan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.

Muhammad Ismail berkata kereta Proton Wira itu kemudian melanggar sebuah kereta Honda Accord sebelum melanggar sebuah lagi kereta jenis Perodua Viva yang datang dari arah bertentangan.
  
Beliau berkata mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.
  
"Ketiga-tiga kenderaan yang terlibat telah ditahan di Balai Trafik Alor Gajah, dan waris mangsa telah dimaklumkan mengenai kejadian ini," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: