Jumaat, 13 Februari 2015

Tuan Guru gigih kembalikan Islam memerintah


DETIK DAILY


KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) merakamkan takziah kepada seluruh ahli keluarga serta seluruh kepimpinan PAS di atas pemergian ke rahmatullah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Sesungguhnya pemergian beliau merupakan suatu kehilangan yang sangat besar buat seluruh umat Islam di dunia amnya dan di alam Nusantara khususnya," ujar Presiden Mapim yang juga Setiausha Agung Shura, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Tambahnya, tidak dapat disangkal beliau meninggalkan khazanah ilmu serta kebijaksanaan sebagai pendakwah dan menunjukkan karakter seorang murabbi umat yang tidak ada tolok bandingnya.

"Kami meletakkan Almarhum sebagai guru umat yang sangat besar jasanya bukan sahaja dalam arena politik Islam malah juga dalam pentarbiyahan umat yang sangat mendalam kesannya," ujarnya.

Menurutnya, sebagai seorang ulama haraki yang menunjukkan teladan dalam kepimpinan serta gaya hidup yang sangat sederhana telah menggariskan suatu aras pengukuran kepada semua aktivis Islam dan kepimpinan negara yang perlu dicontohi.

"Kami sangat tersentuh dengan contoh teladan yang beliau tunjukkan dalam mendepani pelbagai mehnah dan tribulasi politik tanah air di samping terus berperanan sebagai murabbi dakwah yang luar biasa," ujarnya lagi.

Beliau berkata, Tuan Guru merupakan seorang insan yang benar-benar menterjemahkan pengertian 'ulama sebagai pewaris para anbiya'.

Menurutnya lagi, pengajian yang disampaikan dalam kuliah tetapnya di bandar Kota Bharu sarat dengan tausiah dan nasihat yang membekas kepada setiap penuntut yang tekun mendengar huraian dan kupasan beliau.

Bliau menambah, Tuan Guru Nik Abdul Aziz layak digelar murabbi umat berdasarkan keiltizamannya yang kukuh terhadap usaha gigihnya mengembalikan Islam sebagai pemerintah bukan Islam yang diperintah.

"Kata-kata beliau serta respons beliau terhadap pelbagai isu umat dan negara menjadi hujah yang tidak dapat disangkal balas.

"Ilmu dan kekuatan sahsiahnya sangat dirasai dan beliau sebagai tokoh yang sangat inspiratif akan dilanjutkan oleh generasi mendatang," katanya

Tiada ulasan: