Mohamad Salleh Ismail Mohamad Salleh Ismail
 
 
KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa laporan polis yang dibuat ahli perniagaan Shamsubahrin Ismail terhadap Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp), Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail dipengaruhi beberapa individu daripada parti pembangkang.

Ketua Unit Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa berkata, perkara itu jelas kerana laporan polis yang dibuat Shamsubahrin dihantar kepada pihak SPRM oleh Anggota Parlimen Petaling Jaya daripada PKR, R.Sivarasa.
  
Abdul Razak berhujah bahawa Shamsubahrin juga mengakui peguam N.Surendran yang juga Ahli Parlimen Padang Serai dan peguam Latheefa Koya hadir ketika dia membuat laporan polis itu di hospital.   

"Tertuduh hanya membuat laporan polis sebulan selepas dia dituduh di mahkamah dan jelas bahawa laporan yang dibuatnya adalah difikirkan kemudian.   

"Pembelaan tertuduh juga adalah penafian semata-mata dan tidak menimbulkan keraguan sebaliknya mengesahkan kes pihak pendakwaan," katanya dalam hujahan  di akhir kes pembelaan Shamsubahrin di hadapan Hakim Rozilah Salleh.   

Dalam hujahannya juga, Abdul Razak berkata, keterangan pihak pendakwaan adalah meyakinkan dan tiada percanggahan ketara dalam keterangan saksi-saksi pendakwaan.   

Katanya keterangan saksi-saksi pendakwaan juga tidak tercabar dan disokong antara satu sama lain.   

"Dengan ini pihak pendakwaan memohon tertuduh didapati bersalah dan disabitkan atas kesemua pertuduhan," katanya.   

Hakim Rozilah kemudian menetapkan 20 April untuk keputusan.    

Pada 30 Disember 2011, Shamsubahrin didakwa terhadap lima pertuduhan menipu Mohamad Salleh membabitkan RM1.75 juta dan pada 18 Jun 2012 dia didakwa  terhadap 17 pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.   

Dia didakwa menipu iaitu menjanjikan suatu perkhidmatan rundingan dan nasihat dengan menyatakan dia disuruh oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir  Mohamad untuk membantu Mohamad Salleh dan menawarkan untuk menjalankan kerja-kerja konsultan bernilai RM2.75 juta sehingga mendorong Mohamad Salleh  bersetuju membayar wang perkhidmatan kepadanya. - Bernama