Rabu, 18 Februari 2015

Suami isteri maut digilis lori tangki

MALAYSIAKINI


 


Sepasang suami isteri maut digilis sebuah lori tangki apabila motosikal yang ditunggangi mereka bergesel dengan kenderaan itu di Kilometer 35.5 Jalan Klang-Teluk Intan dekat Shah Alam semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12.55 tengah hari, Mohd Razali Mohd Saad, 65, berasal dari Parit 1 Barat, Sungai Besar dekat Shah Alam, dan isterinya Jahrah Daud, 49, berasal dari Kampung Ujung Permatang, Kuala Selangor, disahkan mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Mohd Taib Ahmad berkata pasangan suami isteri berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala Selangor menghala ke Klang sebelum nahas itu.

"Kedua-dua mangsa dipercayai cuba memintas lori tangki itu namun tidak berjaya lalu bergesel dengan kenderaan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di Shah Alam hari ini.

Katanya susulan itu, kedua-dua mangsa terjatuh daripada motosikal sebelum digilis lori berkenaan dan meninggal dunia akibat kecederaan parah di seluruh anggota badan.

Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tanjung Karang dekat sini untuk bedah siasat.

Mohd Taib berkata pemandu lori tangki itu kini ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, seorang lelaki warga emas yang dilaporkan sesat di Bukit Seremban 2 Height, di Seremban malam kelmarin ditemui dalam keadaan selamat, awal pagi semalam.

Pegawai Bomba Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Md Munawir Md Yusoff berkata enam anggota bomba bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.59 malam.

Difahamkan, Lim Kim Cing, 63, tercicir di belakang sewaktu menuruni bukit tersebut bersama empat sahabatnya yang lain di kawasan itu.

"Menurut isteri mangsa, keadaan kakinya tidak begitu baik dan pergerakannya yang agak perlahan menyebabkan dia tercicir.

Anggota bomba menghadapi kesukaran untuk mencari mangsa ketika operasi dijalankan disebabkan keadaan hutan tebal dan gelap di bukit tersebut.

"Bagaimanapun, pihak kami berjaya menemui mangsa kira-kira tiga kilometre dari kaki bukit berkenaan pada pukul 2.30 pagi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata, Lim ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan dan diserahkan kepada ahli keluarganya sejam kemudian.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa turut dibantu oleh seramai lima anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm), katanya. - Bernama

Tiada ulasan: