Rabu, 18 Februari 2015

Siti Nurhaliza terkejut disenarai wanita ke-3 terkaya, kata akhbar

THE MALAYSIAN INSIDEER


Datuk Siti Nurhaliza Tarudin kurang senang dengan berita yang mengatakan beliau wanita ke-3 terkaya di Malaysia dengan aset bernilai RM50 juta yang kini menjadi viral di Internet. – Gambar Instagram Siti Nurhaliza, 18 Februari, 2015.Datuk Siti Nurhaliza Tarudin kurang senang dengan berita yang mengatakan beliau wanita ke-3 terkaya di Malaysia dengan aset bernilai RM50 juta yang kini menjadi viral di Internet. – Gambar Instagram Siti Nurhaliza, 


 Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dilaporkan terkejut mendapat tahu namanya disenaraikan sebuah portal berita baru-baru ini sebagai wanita ketiga terkaya di Malaysia.

Beliau memberitahu Utusan Malaysia, penilaian jumlah kekayaannya sebanyak RM50 juta seperti yang dilaporkan portal itu tidak begitu tepat dan beliau secara peribadi, kurang senang dengan berita yang sudah menjadi viral di laman sosial itu.

“Saya ada membaca berita tersebut dan agak terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan. Apa yang boleh saya katakan saya amat bersyukur dengan rezeki yang Allah kurniakan,” katanya kepada akhbar itu.


Portal savemoney.my dalam laporannya mengenai lima wanita terkaya di Malaysia dilaporkan menyenaraikan nama Siti Nurhaliza, 36, di kedudukan ketiga dengan anggaran aset kekayaan mencecah RM50 juta pada 2013. Kedudukan pertama dalam senarai portal itu ialah pewaris pengasas Genting Highlands, Puan Sri Lee Kim Hua dengan aset berjumlah RM21.32 bilion, disusuli pelakon antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh (RM875) juta.

Dua lagi personaliti wanita Malaysia yang turut disenaraikan ialah bekas Ratu Cantik Malaysia 1969, Pauline Chai dan juara skuasy negara, Datuk Nicol Ann David.

Siti Nurhaliza, yang juga pengasas produk kecantikan jenama SimplySiti, menegaskan kepada Utusan Malaysia, beliau masih lagi bekerja keras dalam bidang seni selain memberi tumpuan serius terhadap cabang perniagaan lain.

“Saya tidak begitu senang dengan jumlah yang dinyatakan, kerana saya masih bekerja keras dalam bidang seni dan perniagaan dan tidak begitu tepat untuk membuat penilaian berdasarkan jumlah yang dinyatakan,” beliau dipetik berkata.

Menurut akhbar itu, dengan lebih 200 anugerah dalam tangannya, Siti Nurhaliza antara penyanyi Melayu yang mencapai rekod cemerlang dalam industri hiburan sepanjang 20 tahun menceburi bidang seni itu.

Tiada ulasan: