Ahad, 22 Februari 2015

Sidang telefon bersama Sirul tetap dijalankan esok, kata Mahfuz

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR : Sidang telefon selama 15 minit bersama bekas komando polis Sirul Azhar Umar akan tetap diadakan esok walaupun pihak berkuasa imigresen Australia dilaporkan masih belum meluluskannya.
 
Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata telesidang itu tetap akan berlangsung untuk semua media pada Isnin (esok) bermula jam 11.30 pagi di ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
 
Ditanya mengenai kelulusan daripada pihak berkuasa pusat tahanan imigresen Australia di mana Sirul kini ditahan, beliau berkata: "Saya tak tahu pasal tu," ketika dihubungi The Malaysian Insider.
 
Beliau berkata, kerana kekangan masa, sewaktu telesidang selama 15 minit itu, wakil media hanya dibenarkan bertanya beberapa soalan kepada Sirul, yang disabitkan bersalah membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu.
 
Mahfuz bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya butiran terperinci yang akan disampaikan Sirul sewaktu telesidang tersebut.
 
"Saya tidak tahu (butirannya). Saya bukan bertujuan untuk dia bercakap atau buat sesuatu. Saya pun tidak tahu. Saya hanya hendak bagi peluang kepada media.
 
"Kalau sebelum ini, (portal) Malaysiakini saja mendapat akses (berkomunikasi) dengannya, sekarang saya hendak beri supaya dia boleh bercakap dengan semua media, walaupun sekadar mengulangi apa yang disampaikan kepada Malaysiakini," katanya.
 
Mahfuz berkata, PAS yang sebelum ini pernah berhubung dengan Sirul di Australia dan sedang membuat persiapan bagi membawa ibu Sirul ke sana, hanya berniat untuk berlaku adil dengan memberi peluang kepada semua media membuat liputan.
 
Jumaat lalu, PAS mengumumkan mengadakan satu sesi telesidang selama 15 minit bersama bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu yang dikatakan lari daripada hukuman gantung dan kini berada di Australia.
 
Namun, pihak berkuasa imigresen Australia masih belum meluluskan sesi itu, memetik media Australia yang melaporkan seorang jurucakap menteri imigresen negara itu sebagai berkata, temu bual dalam pusat tahanan, pada amnya tidak dibenarkan "atas sebab-sebab operasi".
 
Jurucakap itu bagaimanapun berkata, ia boleh dibenarkan pada masa akan datang selepas prosedur permohonan yang betul dipatuhi.
 
Sirul kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney, selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan Interpol.
 
Panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu menghukum Sirul dan rakan setugasnya bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri ke tali gantung kerana membunuh Altantuya, membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2013.

Tiada ulasan: