Sabtu, 21 Februari 2015

Sidang langsung Sirul dengan media Malaysia mungkin tak jadi kenyataan

ANTARAPOS.COM


Post Pic



KUALA LUMPUR: Persidangan langsung dari Australia di antara bekas komando polis Sirul Azhar Omar dan media Malaysia anjuran PAS pada Isnin depan mungkin tidak menjadi kenyataan.

Ini berikutan kenyataan pihak berkuasa imigresen Australia bahawa ia belum lagi meluluskan sesi persidangan langsung yang diumumkan oleh Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar sebelum ini, lapor The Malaysian Insider.

Media Australia memetik jurucakap menteri imigresen Australia sebagai berkata, secara umumnya temubual dalam pusat tahanan tidak dibenarkan “atas sebab-sebab operasi”.

Jurucakap itu berkata, bagaimanapun ia mungkin boleh dibenarkan pada masa depan selepas prosedur betul permohonan dipatuhi.

Sebelum ini, Mahfuz memberitahu Malay Mail Online, Sirul yang kini berada di Australia akan bercakap kepada media Malaysia dalam persidangan langsung dari pusat tahanan.

“Ia persidangan langsung selama 15 minit,” kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Bagaimanpun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada bekas korporal yang mendakwa dia diarah membunuh rakyat Mongolia, Altantuya Shariibuu akan mendedahkan lebih banyak butiran mengenai pembunuhan itu.

“Saya tidak fikir dia akan melakukan pendedahan itu sewaktu itu … tetapi dia akan bercakap kepada media dan pihak media boleh bertanya mengenai apa-apa.

Baru-baru ini dalam satu temubual, Sirul memberitahu Malaysiakini dia menimbang mendedahkan mengapa dia dan seorang lagi bekas komando polis menembak mati model berasal dari Mongolia itu sebelum meletupkan mayatnya menggunakan bahan letupan.

Selain mendakwa hanya mengikut perintah ketika itu, dia juga berkata, Mahkamah Persekutuan sepatutnya memanggil bekas ketuanya, Timbalan Superintendan Musa Safri untuk memberi keterangan.

Awal hari ini, Mahfuz mengulangi tuntutan terbarunya agar polis menyiasat dakwaan Sirul bahawa dia bertindak mengikut arahan memandangkan motif pembunuhan masih belum dipastikan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menolak sebarang kemungkinan membuka semula kes itu dengan berkata Sirul sudah diberi peluang untuk membuktikan dia tidak bersalah ketika perbicaraan.

Katanya, polis dilarang daripada menyiasat perkara itu memandangkan apa diperkatakan oleh Sirul adalah khabar-khabar angin.

Sirul ditahan di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan oleh Interpol dan kini ditahan di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney.

Tiada ulasan: