Khamis, 19 Februari 2015

Shafee jaja Liwat II ke Pmtg Pauh

MALAYSIAKINI


 


Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dijangka akan meneruskan jelajah untuk meriwayatkan perkara sensasi dalam kes Liwat II  ke kubu kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim – Permatang Pauh.

Malaysiakini difahamkan, penganjur program itu bercadang untuk mengadakannya secara tertutup untuk “jemputan sahaja” di Politeknik Seberang Perai pada 21 Februari ini.

Promosi program tersebut dikesan tersebar di kalangan pengguna saluran sembang WhatsApp yang meminta individu berminta mengesahkan kehadiran mereka.

"Program Khas bersama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengenai isu perundangan berhubung kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim", mesej itu dipetik.

Ketika dihubungi Malaysiakini, individu yang enggan disiarkan namanya itu berkata, program itu bukan diadakan untuk pelajar tetapi bagi ahli badan perhubungan BN negeri.

Program anjuran Umno Pulau Pinang itu pada awalnya dikatakan akan diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, juga di Permatang Pauh.

Seorang pegawai di bahagian hal ehwal pelajar kampus UiTM tersebut ketika dihubungi mengesahkan program seumpama itu tidak akan berlangsung di situ.

Shafee yang merupakan pendakwa utama dalam perbicaraan Liwat II mendedahkan pelbagai butiran sensasi berhubung kes itu dalam program anjuran Pemuda Umno di Kelana Jaya pada malam tadi.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam ucapannya di program tersebut berkata BN tidak akan berdiam diri lagi dalam kes Liwat II.

Tiada ulasan: