Isnin, 16 Februari 2015

Selepas 22 tahun, presiden MIC dicabar

MALAYSIAKINI


Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam hari ini membuat keputusan untuk mencabar Datuk Seri G. Palanivel untuk jawatan nombor satu parti pada pemilihan semula parti berkenaan.

Pengumuman itu menyaksikan bakal berlaku persaingan sengit selepas 22 tahun jawatan presiden tidak dipertandingkan. Semalam, Palanivel turut mengesahkan pendirian beliau untuk mempertahankan jawatannya itu.

Dr Subramaniam ketika mengumumkan untuk mencabar presiden parti berkata:

"Saya membuat keputusan ini setelah melihat keadaan MIC sebegini, demi kepentingan masyarakat India, anggota parti dan bagi memastikan masa depan parti cerah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perjumpaan Bersama Ketua Cawangan dan Bahagian di sini, hari ini.

Turut hadir bagi menyatakan sokongan ialah Naib Presiden Datuk M. Saravanan, Ketua Pemuda C. Sivarraajh, Ketua Wanita M. Mohana serta lebih 2,000 anggota MIC termasuk ketua bahagian serta cawangan.

Kali terakhir parti berusia 68 tahun tersebut mengadakan pemilihan jawatan presiden ialah pada 1993, apabila Presiden MIC ketika itu Datuk Seri S. Samy Vellu dicabar S. Subramaniam yang lebih dikenali sebagai 'Jumbo Maniam'. Samy Vellu bagaimanapun menang.

Dr Subramaniam yang juga Menteri Kesihatan berkata keputusan itu turut diambil berikutan akar umbi parti yang telah hilang kepercayaan serta keyakinan terhadap Palanivel yang gagal menyelesaikan kemelut yang melanda MIC sejak kebelakangan ini.

Pada 9 Feb lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti komponen Barisan Nasional itu perlu mengadakan pemilihan semula untuk semua jawatan yang dipilih antara April dan Julai tahun ini untuk mengelak daripada dibatalkan pendaftarannya akibat kemelut parti itu.

Beliau juga mendakwa parti itu tidak menyaksikan sebarang perubahan positif dan hanya berada dalam keadaan inersia sejak lima tahun ini.

Dr Subramaniam yang juga Anggota Parlimen Segamat berkata krisis MIC perlu diselesaikan dengan segera bagi meraih kembali sokongan serta keyakinan masyarakat India pada pilihan raya umum akan datang.

Mengenai kenyataan Palanivel yang menggantung keahlian bekas Setiausaha Agung A. Sakthivel, Dr Subramaniam berkata ia tidak sepatutnya berlaku dan Sakthivel belum menerima sebarang surat berhubung perkara itu secara rasmi.

Krisis MIC timbul selepas perbezaan pendapat apabila Pendaftar Pertubuhan (RoS) membatalkan pemilihan tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) pada pemilihan agung parti yang diadakan di Melaka pada November 2013 berikutan aduan penyelewengan.

Dalam surat bertarikh 5 Dis 2014, RoS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula untuk jawatan itu dalam tempoh 90 hari.

Konflik parti bertambah hangat apabila Palanivel meminta RoS supaya menarik balik semua suratnya sebelum Selasa ini dengan mendakwa ia bercanggah dengan akta pertubuhan dan perlembagaan parti serta mengancam akan mengambil tindakan undang-undang jika tidak berbuat demikian. - Bernama

Tiada ulasan: