Rabu, 18 Februari 2015

‘Selamatkan Pakatan Rakyat’ antara slogan terbaru DAP

kit siang

 Roketkini.com


GELANG PATAH: Usaha UMNO untuk menghidupkan agenda ‘Kerajaan Perpaduan’(UG) bagi menghancurkan Pakatan Rakyat akan ditentang dengan agenda ‘Selamatkan Pakatan Rakyat’ oleh kempen ‘SSS’ DAP.

Menurut Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang, UMNO sekarang sedang cuba menjalankan usaha ‘Kerajaan Perpaduan’ (UG) ekoran kematian Almarhum Datuk Seri Nik Abdul Aziz yang kuat menentang perpaduan antara PAS dan UMNO semasa hidupnya.

“Kerana (agenda UG) inilah yang membuatkan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional tidak mahu bertanding di DUN Chempaka konon katanya mahu menghormati Nik Aziz. Mereka hanya akan bertanding di Permatang Pauh.

“Ini adalah satu peristiwa yang sangat pelik, bila UMNO tunjuk hormat mereka pada Nik Aziz, sedangkan selama 23 tahun pemerintahan PAS di Kelantan UMNO-BN mendiskriminasi Kerajaan Kelantan,” kata Kit Siang.

Kit Siang dalam kenyataannya juga mengatakan jika benarlah UMNO mahu menghormati Nik Aziz, Perdana Menteri Najib Tun Razak harus segera pulangkan RM12 bilion royalti minyak dan gas kepada Kerajaan Kelantan.

Tambahnya lagi, pemulangan itu akan meningkatkan kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM7 ribu per kapita kepada 1.7 juta penduduk Kelantan.

“Pemulangan royalti itu lebih bermakna dari hanya tidak bertanding di DUN Chempaka,” ujar Kit Siang.

Dalam pada itu, Kit Siang juga menjelaskan kempen terbaru DAP di bawah moto ‘SSS’ (Sokong, Simpati, Setiakawan) yang memberi tumpuan kepada tiga objektif, iaitu ‘Selamatkan Anwar Ibrahim’ yang dipenjarakan, ‘Selamatkan Pakatan Rakyat’ dan ‘Selamatkan Malaysia dari jadi negara gagal’.

“DAP telah menyusun ratusan ceramah, kempen kesedaran dan acara sepanjang tiga tahun sebelum pilihanraya ke-14 menerusi moto ‘SSS’ ini, kita mahu ‘Selamatkan Anwar’, ‘Selamatkan Pakatan Rakyat’, ‘Selamatkan Malaysia’,” jelas Kit Siang lagi.

Sehubungan dengan usaha ‘Selamatkan Pakatan Rakyat’, Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengatakan ia adalah untuk mengekang agenda UG yang disifatkannya tidak jelas dan tidak ada makna apa-apa.

“Bagaimanapun saya tertarik dengan apa yang diinginkan oleh aktivis UG ini, sedangkan jelas dilihat dalam UMNO sendiri tidak ada perpaduan.

“Mahathir pun nak jatuhkan Najib, bahkan ramai lagi yang bercakap secara terbuka adakah Najib boleh bertahan lagi tahun ini sebagai Perdana Menteri,”

Justeru itu, Kit Siang mengingatkan semua parti gabungan Pakatan Rakyat untuk terus bersatu dengan berpandukan prinsip-prinsip yang dipegang bersama.

“Saya sendiri telah mencadangkan rancangan lapan tahun di mana DAP, PKR dan PAS harus ‘kembali kepada asas’ dan bersama teguh dalam komitmen terhadap dua prinsip tunjang yang menjadi rahsia kejayaan Pakatan Rakyat pada 2008 dan 2013.

“Ia adalah patuh dan taat kepada Dasar Bersama PR yang mengandungi prinsip dipersetujui bersama gabungan, serta persetujuan bersama yang menegaskan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebagai badan tertinggi pembuat dasar Pakatan Rakyat,” tegas Kit Siang.-Roketkini.com

Tiada ulasan: