Mohamad Kazim bersama sebahagian NGO dalam himpunan berkenaan. - Foto Sinar Harian Mohamad Kazim bersama sebahagian NGO dalam himpunan berkenaan. - Foto Sinar Harian
 
 
IPOH - “Saya difitnah,” Itu luahan penceramah terkemuka, Datuk Mohamad Kazim Elias yang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan melulu daripada seorang lelaki di Kelantan yang mendakwa dirinya, telah mengaibkan masyarakat Cina hingga boleh menimbulkan ketegangan kaum.

Menurut Mohamad Kazim, dirinya juga tidak menyangka ceramahnya di Surau Al-Iman, Kemensah Heights pada November 2009 lalu itu dibongkar semula  dan seterusnya dijadikan isu oleh pihak tertentu.

Malah katanya, ceramah berkenaan sebenarnya tidak memiliki apa-apa isu pun melainkan mengenai kewajiban umat Islam untuk mempertahankan pemerintahan sebagai sesuatu yang disuruh di dalam Islam.

“Kita nafikan sepenuhnya tuduhan kerana ianya berbentuk fitnah tuduhan melulu tanpa melihat keseluruhan isi ceramah tersebut. Tak tahu kenapa dibongkar dan dijadikan isu.

“Saya kata, siapa sebenarnya tuan? Siapa sebenarnya hamba? Tak lama huraian, dua minit lebih tetapi tempoh itulah yang diambil dan dijadikan isu.

Yang berkhidmat kepada negara adalah pihak polis yang kebanyakannya orang Melayu. Waktu orang lain sedang tidur, makan minum di kelab-kelab malam, yang berjaga askar Melayu, di tengah lautan, tengah sempadan. Keamanan ini datangnya daripada askar kita orang Melayu.

“Janganlah cakap ketuanan Melayu. Siapa Melayu, siapa yang tuan, kita dah duduk dalam negara yang boleh berkongsi tanah, berniaga malah dapat pingat dan pangkat. Kita tak pernah pertikai.

Kita cuma minta jangan timbul isu yang timbulkan ketegangan, tetapi saya pula dituduh menimbulkan ketegangan. Ini sebenarnya yang saya rasa pengadu ini tidak faham dengan apa yang saya cakap atau dia tengok hanya dua minit itu sahaja,” katanya lagi.

Mohamad Kazim berkata demikian pada sidang media sempena himpunan 22 badan bukan kerajaan (NGO) di dataran Pusat Pengajian Al-Barakah, hari ini.

Hadir sama, Ketua Penerangan Majlis Ayahanda-Ayahanda Perak (Maap), Datuk Halim Ramli.

Tambah Mohamad Kazim, isu berkenaan mungkin ditimbulkan kerana ada pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk menutup isu-isu lain seperti isu hudud, pilihan raya majlis perbandaran dan sebagainya.

Oleh itu katanya, ada pihak yang cuba menggunakan populariti dirinya sebagai penceramah terkemuka tanah air pada ketika ini dengan mengaitkan isu-isu perkauman (rasis) dalam ceramah yang disampaikannya.

“Isu ini juga mungkin ditimbulkan sebagai satu usaha bagi menutup isu-isu lain yang sedang hangat dibincangkan pada hari ini seperti isu hudud, pilihan raya majlis perbandaran dan sebagainya.

“Pada ketika ini juga saya lihat ‘kebangkitan’ masyarakat untuk dengar ceramah sangat hebat. Mungkin juga ianya satu usaha untuk ‘peti sejuk’kan saya kerana bercakap isu rasis dan sebagainya,” katanya lagi.

Sementara itu, Mohamad Kazim berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan bagi menyatakan perkara yang sebenar kepada masyarakat.

Menurutnya, beliau juga turut menerima banyak mesej yang menyatakan sokongan kepadanya berhubung isu berkenaan.