Selasa, 17 Februari 2015

Rafizi sifatkan Shafee sebagai Abu Jahal

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menggelar Ketua Pendakwaraya Kes Liwat II, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah seperti Abu Jahal atas pengakuannya untuk bersumpah di masjid atau di tanah suci Mekah bagi kes membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohd Saiful Bukhari Azlan.
 
Ujarnya, PKR bersetuju untuk mengelakkan daripada bersumpah selepas mendapatkan pandangan golongan alim ulama, apatah lagi perbuatan itu bukan sebahagian daripada syariat Islam.
 
"Mereka yang suka menilik nasib dan bersumpah ini seperti Abu Jahal. Yang mana beliau ini suka melakukan sumpah di depan Kaabah, sedangkan sumpah ini bukan sebahagian daripada (ajaran) Islam," kata Rafizi sewaktu ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Lembah Pantai, pagi tadi.
 
Terdahulu Shafee melalui temubual eksklusif bersama Mingguan Malaysia baru-baru ini mengakui berani bersumpah di masjid atau di tanah suci Mekah kerana percaya Ketua Umum PKR itu benar-benar bersalah.
 
Beliau menafikan mahu menganiaya Anwar ketika mengemukakan petisyen rayuan supaya pemimpin tersebut disabitkan hukuman mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan tiga tahun lalu.
 
Shafee juga menolak tanggapan wujud isu peribadi dengan Anwar, sebaliknya hanya melaksanakan tanggungjawab yang diberikan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.
 
"Dalam Umno sekarang begitu mudah hendak bersumpah, dari masjid hingga depan Kaabah. Yang penting rakyat menilai sendiri jenis orang yang hendak bersumpah ini. Dahulu Saiful, kemudian tidak lama kemudian terbongkar soal hubungan sulit dengan pendakwaraya hingga pendakwaraya itu digugurkan dari kes.
 
"Dari segi moralnya, rakyat boleh teliti dan nilai sendiri.
 
"Begitu juga Shafee, terpulang kepada beliau hendak bersumpah di masjid atau depan Kaabah. Tetapi pada saya, rakyat yang celik mata dan tahu tentang nas-nas agama dan amalan Islam, mereka boleh menilai apakah perlakuan itu selaras dengan tuntutan Islam," kata Rafizi lagi.

Tiada ulasan: