Selasa, 10 Februari 2015

PKR tidak halang penyokong berkhemah luar penjara Sungai Buloh

 OLEH JAMILAH KAMARUDIN


Naib Presiden PKR Tian Chua dikelilingi anggota polis di luar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, siang tadi. Tian Chua menasihati penyokong bertindak aman dalam membantah keputusan hakim memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 10 Februari, 2015.Naib Presiden PKR Tian Chua dikelilingi anggota polis di luar Mahkamah Persekutuan di Putrajaya, siang tadi. Tian Chua menasihati penyokong bertindak aman dalam membantah keputusan hakim memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal.


PKR tidak akan menghalang mana-mana penyokong yang mahu berkhemah di perkarangan luar Penjara Sungai Buloh bermula malam ini bagi menunjukkan solidariti terhadap bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Chua Tian Chang.

Bagaimanapun, naib presiden PKR itu menegaskan, pihaknya tidak akan bertanggungjawab jika berlakunya perkara tidak diingini atau di luar kawalan kerana itu bukan arahan rasmi parti.

"Sesiapa yang mahu turut serta bermalam untuk tunjukkan solidariti depan penjara, saya silakan.


"Tetapi ada had, kita sentiasa ingat jangan melampau tahap tindakan kita, sentiasa damai, aman dan tertib.

 "Jangan kita keluar daripada rangka itu. Selagi dalam rangka ini kita berjaya," katanya ketika menyampaikan taklimat di hadapan kira-kira 100 penyokong di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, petang tadi.

Ahli Parlimen Batu itu turut menasihatkan penyokong PKR tidak bertindak di luar batas hanya kerana rasa marah terhadap sistem kerajaan, dan bukannya atas nama perjuangan.

Katanya, tindakan provokasi akan menyebabkan Pakatan Rakyat (PR) hilang sokongan rakyat.

Mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh, beliau mengingatkan ahli parti bersiap sedia menghadapi pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari akan datang.

Katanya, terpulang kepada Anwar dan kepimpinan PKR Pusat memilih bakal calon, dan berharap PRK Permatang Pauh akan menjadi bukti kukuh PR dapat bersatu semula.

"Pilihan raya ini akan menjadi bukti kukuh kita sedikit pun tidak akan berganjak. Majlis Setiausaha PR akan bersidang malam ini merancang langkah seterusnya.

"Ini adalah satu titik perubahan baharu," katanya.

PR akan mengadakan mesyuarat tergempar malam ini di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan memenjarakan Anwar selama lima tahun.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata mesyuarat majlis setiausaha PR akan diadakan jam 10 malam ini dan turut dihadiri Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke serta pemimpin lain dalam sekretariat PR.

"Majlis Setiausaha akan bermesyuarat dahulu sebelum majlis presiden yang akan bermesyuarat selepas ini tidak lama lagi," kata Mustafa kepada The Malaysian Insider.

Tiada ulasan: