PKR bidas usaha jatuhkan kredibiliti Azan Ismail
 
 
KUALA TERENGGANU - PKR Terengganu membuat satu laporan polis berhubung banting yang digantung di jambatan pendek, Kampung Cina didakwa cuba menjatuhkan kredibiliti Adun Bandar, Azan Ismail yang juga Pengerusi PKR Terengganu.

Setiausahanya, Wan Bukhari Wan Mohamad berkata, walaupun tiada satu keterangan jelas merujuk kepada nama Azan, namun pihaknya percaya banting yang disertakan keterangan dalam bahasa Cina itu merujuk kepada pemimpin PKR negeri itu.

Lebih-lebih lagi menurutnya, paparan imej seorang lelaki memakai songkok pada banting tersebut hampir sama dengan gambar Azan yang dicetak sebelum ini, walaupun gambar di banting terbabit tidak berwajah.

“Keterangan dalam bahasa Inggeris pula ditulis dengan perkataan ‘wanted’ seolah-olah cuba mengaitkan Azan dengan perlakuan tidak elok.

“Ia dikuatkan lagi dengan keterangan dalam bahasa Cina seolah-olah YB tidak buat kerja dan mereka suruh pulangkan semula kerusi Dun Bandar,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, keterangan dalam bahasa Cina yang ditulis dengan warna kuning bermaksud ‘Pertama kali ditipu adalah naif, sekali lagi ditipu adalah bodoh’ manakala yang bertulisan merah pula adalah ‘Wakil rakyat halimunan, awak di mana, kembalikan undi saya.”

Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Terengganu, kelmarin berkenaan insiden terbabit yang dianggap berniat jahat dan cuba memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum.

Jelasnya, pelaku juga dilihat cuba menghasut masyarakat Cina di Dun Bandar khususnya di Kampung Cina untuk membenci Adun Bandar.

Pihaknya turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera dan menyiasat perkara itu.

“Dengan peruntukan undang-undang yang ada, ia harus disiasat serta-merta dan diberi perhatian segera,” katanya.