Sidang media Pakatan Rakyat selepas Mesyuarat Tertinggi Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM Sidang media Pakatan Rakyat selepas Mesyuarat Tertinggi Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PAS Jalan Raja Laut. - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
 
 
KUALA LUMPUR - Satu mesyuarat khas Majlis Pimpinan PR akan diadakan pada 10 Februari ini bagi membincangkan pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang sekiranya beliau didapati bersalah dalam penghakiman kes Liwat II.
 
Anwar bagaimanapun berkata, perkara tersebut tidak dibincangkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan PR, hari ini tetapi hanya menetapkan 10 Februari ini sebagai mesyuarat khas ketiga-tiga parti pembangkang itu.
 
"Tidak (tentang pengganti Anwar), mesyuarat hari ini hanya membincangkan untuk mengadakan mesyuarat khas selepas keputusan Mahkamah Persekutuan.
 
"Mesyuarat bersetuju untuk mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan dan merangka penyelesaian menyentuh isu enakmen jenayah syariah dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan PR di Pejabat Agung Pas, di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian mengulas tentang pengganti beliau sebagai ketua pembangkang jika Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman bersalah dalam kes Liwat II pada 10 Februari ini.
 
Mahkamah Persekutuan mengeluarkan tarikh itu melalui akaun Twitter rasminya di laman rasminya pada 26 Januari lalu.
 
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memberi jaminan partinya akan terus bersama-sama dalam perjuangan PR menjelang hari keputusan kes Liwat II itu.
 
"Ketiga-tiga parti mengulangi tekad dan memberikan jaminan bahawa perjuangan bersama dalam PR akan terus diutamakan.
 
"Majlis Pimpinan PR juga bersetuju untuk bermesyuarat semula selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan pada 10 Februari ini," katanya.
 
Tambah Anwar, mesyuarat khas itu juga akan diadakan di ibu negara dan sebarang perubahan akan diputuskan oleh Sekretariat PR kelak.