Isnin, 2 Februari 2015

PasMa ibarat nyamuk ganggu tidur ahli PAS - Daeng Sanusi

Oleh Syed Mu'az Syed Putra
Post Pic
 
 
 
BANGI: Pemimpin veteran PAS Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok yakin Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) tidak akan berkesan sebagai sebuah parti politik namun akur menjadi "nyamuk yang menggangu tidur ahli PAS."
 
Beliau berkata tiada jaminan daripada PasMa bahawa ia akan terus kekal atas platform NGO dan bukan sebagai sebuah kuasa politik.
 
"Ia tidak akan kekal kecuali ia masuk Umno atau sebagainya, itu lain cerita... ia akan mengalami apa yang dialami oleh serpihan-serpihan dulu.
 
"Oleh kerana itu saya tidaklah begitu bimbang terhadap PasMa.  Tetapi walau macam mana pun ia akan menjadi seekor nyamuk di dalam kelambu PAS...menjadikan banyak orang PAS yang tak boleh tidur," katanya.
 
Beliau yakin  pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bakal terkubur sekiranya berhasrat bergerak atas platform politik.
 
Tegas bekas Naib Presiden PAS berusia 77 tahun ini, PAS pernah dua kali mengalami krisis kepimpinan yang menyebabkan penubuhan dua parti serpihan iaitu Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM).
 
Beliau berkata penubuhan PasMa  hanya akan berfungsi untuk memanipulasi pemikiran ahli  supaya tunduk kepada arahan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
"Saya pernah ditanya banyak kali tentang PasMa, saya menyatakan PasMa ini bolehlah saya sebutkan sebagai serpihan daripada PAS.
 
"Dulu PAS mengalami banyak kali serpihan-serpihan tapi serpihan yang menjadi nyatalah sebab yang serpihan dalam ini banyak...mula-mula dulu PAS menghadapi serpihan ini adalah parti BERJASA yang menjadi parti politik.
 
"Selepas itu HAMIM juga menjadi parti politik, kemudian Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan kesemua ini menjadi parti politik dan ditubuhkan kumpulan ini sehingga menjadi politik oleh orang-orang PAS yang tidak puashati kepada PAS berdasarkan kepada politik PAS," katanya dalam temubual eklusif bersama Antarapos di kediamannya di sini.
 
Untuk rekod, PasMa yang diterajui Datuk Phahrolrazi Zawawi ditubuhkan pada 11 Ogos 2013 dan strategi jangka panjang NGO berkenaan adalah satu ciptaan untuk persiapan menjadikannya parti politik menggantikan PAS.
 
PasMa ditubuhkan oleh anggota PAS untuk mengukuhkan kerjasama di antara Pakatan Rakyat dengan menganjurkan dialog dan wacana dengan bertujuan untuk menyelamatkan gabungan itu dari berpecah belah.
 
Kumpulan dan pemimpin yang menyertai program NGO itu mungkin menimbulkan idea untuk menubuhkan parti baru untuk menggantikan PAS apabila melihat perkembangan baru. 
 
Bagaimanapun pemimpin PASma menafikan NGO itu  tidak berniat untuk menggulingkan kepimpinan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan golongan ulama.
 
Baru-baru ini, Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan ‘mempersilakan’ ahli PasMa meninggalkan PAS sekiranya pendirian pertubuhan itu tidak lagi sehaluan dengan parti.
 
Beliau berkata ‘bahtera’ yang dikemudikan setiap parti dalam pakatan pembangkang adalah berbeza.
 
Ujar Daeng Sanusi lagi, kewujudan PasMa juga sebagai satu platform untuk meneruskan  kesinambungan serta menjamin masa depan pemimpin yang 'bermasalah' dalam parti itu.
 
Katanya, terdapat segelintir pemimpin yang menggunakan platform NGO untuk kepentingan peribadi yang mana mereka sudah dikenali 'bermasalah' di dalam parti.
 
"PasMa ini ditubuhkan oleh kumpulan daripada orang-orang PAS bukan berdasarkan tak puashati politik tetapi bertitik tolak daripada orang-orang yang menubuhkan PasMa ini orang yang bermasalah di dalam PAS.
 
"Orang yang bermasalah di dalam PAS, mungkin mereka ini melihat kalau mereka tidak ada platform lain dia terus menjadikan PAS platform maka dia tidak ada masa depan.
 
"Maka mereka berfikir untuk buat platform dan diadakan PasMa sebagai platform mereka untuk ketengahkan walaupun PasMa itu merupakan NGO," katanya.
 
Bekas Ahli Majlis Syura Ulama PAS ini berkeyakinan PasMa akan bergerak ke arah penubuhan parti baru yang menjadi igauan dalam sejarah politik tanah air seperti mana dialami Parti Negara, Semangat 46, BERJASA, HAMIM dan Berjaya.
 
"Buat masa sekarang ia tidak meningkat kepada parti politik tapi akan datang saya lihat ia akan meningkat kepada parti politik.
 
"Bagaimanapun sama ada ia kekal sebagai NGO atau meningkat kepada parti politik pada pandangan saya ia akan mengalami apa yang dialami oleh serpihan-serpihan yang terdahulu," katanya.
 
Pada 26 Oktober lalu, Abdul Hadi membidas PasMa kerana mempertikaikan keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang melarang ahli-ahli parti menyertai pertubuhan tersebut.
 
Beliau ketika itu turut mempersoalkan status PasMa yang kononnya bergerak selari dengan kepentingan parti dan secara sinis menggambarkan tidak tahu asal usul mereka yang dianggap ‘entah daripada spesies mana’.

Tiada ulasan: