Khamis, 12 Februari 2015

PAS ajak ahli boikot restoran nasi Arab?

 
Alasan yang diberikan Sekretariat Urusan Ulamak PAS Kawasan Gombak ialah pemilik restoran itu sengaja berkonfrontasi dengan PAS Gombak dalam banyak isu


pasafc


PETALING JAYA: PAS Gombak mengajak semua ahli dan penyokongnya memboikot Restoran Nasi Arab al-Amin di Greenwood dengan alasan pemiliknya, Hamzah Jaafar terlibat secara aktif dengan Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa).

Arahan dalam bentuk risalah itu dikatakan diedarkan khusus untuk ahli dan penyokong PAS Kawasan Gombak sahaja sejak tiga hari lalu.

Menurut sumber, alasan yang diberikan Sekretariat Urusan Ulamak PAS Kawasan Gombak ialah pemilik restoran itu sengaja berkonfrontasi dengan PAS Gombak dalam banyak isu.

Selain itu, katanya, Hamzah juga dikatakan terlibat dengan PasMa dan menyokong golongan yang anti kepimpinan ulamak.

“Hamzah juga bertanggungjawab membatalkan ceramah perdana Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, Mokhtar Senik di Ar-Rahimah kerana hadir berdemonstrasi mempertahankan Presiden PAS di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur pada 8 Februari lalu.

“Kebetulan pemilik restoran nasi Arab ini adalah nazir di masjid berkenaan dan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan,” kata sumber itu.

Katanya, seruan itu untuk ahli dan penyokong PAS yang akur dengan keputusan Majlis Syura Ulamak agar tidak terlibat dengan PasMa.

Sementara itu, Hamzah dalam kenyataan balasnya menafikan semua tuduhan dalam risalah yang diedarkan oleh Urusan Ulamak PAS Gombak itu dengan menyifatkan berlaku salah faham terhadapnya.

Katanya, pembatalan ceramah perdana itu diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa Masjid Ar-Rahimah, bukan beliau walaupun dilantik sebagai nazir di masjid berkenaan.

“Pembatalan kuliah tersebut dibuat setelah isu tauliah dibangkitkan, di samping pihak masjid mengambil kira isi kandungan ustaz berkenaan,” katanya.

Hamzah turut menafikan berkonfrantasi dengan PAS Gombak dan tidak pernah mendaftar sebagai ahli Pas di kawasan itu mahupun terlibat dengan PasMa.

Katanya, adakah dengan kehadiran pemimpin atau ahli PasMa ke restorannya untuk makan, beliau dianggap terlibat dengan persatuan itu.

“Bagaimana pula dengan kehadiran orang Cina, India, UMNO, PKR dan sebagainya di restoran saya. Adakah saya menjadi orang Cina, India, UMNO dan PKR,” soalnya.

Tiada ulasan: