Jumaat, 13 Februari 2015

Pakatan Rakyat hilang Nik Aziz, Anwar selang 2 hari - Mujahid Yusof

Oleh Nur Shakira Buang
Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat menerima tamparan hebat apabila sekelip mata mereka kehilangan pemimpin-pemimpin yang selama ini menjadi cerminan gagasan itu.
 
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Nasional PAS, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata tidak sampai dua hari mereka kehilangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini sekali lagi dikejutkan dengan pemergian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, ke sisi Penciptanya.
 
"Pemergian dia (Nik Aziz) juga adalah mengejutkan kerana kita baru sahaja menerima berita Anwar dipenjarakan, itu menambahkan lagi kesedihan kita hari ini dan ia benar-benar menguji kami serta penyokong-penyokong Pakatan Rakyat," katanya, ketika ditemui pemberita selepas forum anjuran Malaysiakini di Petaling Jaya, lewat malam tadi.
 
Malah, Mujahid berkata tidak ada sesiapa boleh menafikan peranan bekas menteri besar Kelantan itu dalam memastikan pembentukkan Pakatan Rakyat. 
 
"Peranan Nik Aziz besar dalam memastikan pembentukan PR, sokongan besar yang diberi kepada Anwar Ibrahim sendiri juga telah membawa sokongan yang begitu kuat. Endorsement dia kepada kezaliman yang berlaku saya rasa tidak ada siapa yang boleh menafikan pengaruh dia dalam membentuk sokongan masa kepada PR," jelasnya Mujahid.
 
Katanya, dikala Nik Aziz terlantar sakit di hospital pun beliau masih mengambil berat perihal politik negara.
 
"Bagi PR ia satu kehilangan yang begitu besar. Di saat-saat keuzuran beliau, Nik Aziz juga mengikuti perkembangan politik negara. 
 
"Saya kira usaha beliau untuk pastikan dan PAS terus bersama sesuatu yang tidak dapat dinafikan sumbangan yang begitu besar kepada Pakatan Rakyat," tambahnya.
 
Naib Presiden PKR, Tian Chua yang turut menghadiri forum semalam berkata Nik Aziz diakui berjaya menerapkan nilai keislaman dalam corak pemerintahan beliau.
 
"Beliau adalah seorang lelaki yang lemah lembut. Inspirasi untuk ahli politik muda. Beliau mentadbir berdasarkan teladan.
 
"Prinsipnya adalah nilai sebenar Islam dan menghormati semua agama. Nik Aziz sentiasa melihat gambaran yang lebih besar apabila berbincang tentang isu melibatkan kepentingan awam. Kita akan merindui kebaikan beliau, dan sifat lucu beliau," katanya yang turut menjadi salah seorang panel forum itu.
 
Nik Aziz yang juga bekas menteri besar Kelantan meninggal dunia di kediamannya di Pulau Melaka, kira-kira jam 9.45 malam tadi, kira-kira satu jam sebaik tiba di rumahnya, selepas keluar daripada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
 
Dilahirkan pada hari Sabtu 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu beliau merupakan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik. 
 
Hasil perkongsian hidup dengan isterinya, iaitu Tuan Sabariah binti Tuan Ishak, beliau dikurniakan 10 orang cahaya mata (5 lelaki dan 5 perempuan).
 
Nik Aziz mula menjadi ahli PAS pada tahun 1967 dan beliau dilantik menjadi Mursyidul Am PAS sehingga beliau menghembuskan nafasnya, malam tadi.
 
Beliau juga diberi kepercayaan untuk menjadi Menteri Besar Kelantan dari 1990 hingga 2013.
 
Nik Aziz terkenal sebagai seorang pemimpin yang lantang dengan pendiriannya dan atas sebab itulah beliau amat disegani banyak pihak termasuk seteru politiknya.
 
Di akhir usianya, Nik Aziz dikesan mengalami kanser prostat, masalah jantung, darah tinggi dan gastrik. 
 
Selepas banjir besar melanda Kelantan akhir tahun lalu, keadaan kesihatan Nik Aziz semakin merosot dan beliau dimasukkan ke HUSM.

Tiada ulasan: