Rabu, 18 Februari 2015

Pahang dilupakan dalam bantuan pasca banjir, kata PAS

THE MALAYSIAN INSIDER



PAS Pahang kesal dengan keadaan penempatan terjejas banjir tidak dibaik pulih, seolah-olah kerajaan negeri bersikap lepas tangan sehingga peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lebih ketara di saat banjir atau selepasnya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 18 Februari, 2015.PAS Pahang kesal dengan keadaan penempatan terjejas banjir tidak dibaik pulih, seolah-olah kerajaan negeri bersikap lepas tangan sehingga peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lebih ketara di saat banjir atau selepasnya. – Gambar fail The Malaysian Insider.


PAS Pahang melahirkan kekesalan berikutan sikap kerajaan negeri yang didakwanya langsung tiada sebarang perancangan bagi mengganti atau membaik-pulih rumah rakyat yang musnah dalam tragedi banjir hujung tahun lalu.

Keadaan ini amat berbeza dengan kerajaan negeri Kelantan yang bertungkus lumus membina dan menyiapkan perumahan rakyat, kata Pesuruhjaya PAS Pahang Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bahkan, tidak kedengaran sebarang pelan baru bagi membaik pulih kerosakan yang ada, katanya dalam satu kenyataan hari ini.


"Sepanjang lawatan pemimpin PAS Pahang ke setiap daerah yang dilanda banjir, kami mendapati berpuluh buah rumah yang musnah termasuk pondok pengajian dibiarkan begitu sahaja," kata Tuan Ibrahim.

 Katanya, dibandingkan dengan tragedi banjir pada 1970 dan 1971, kerajaan negeri menyediakan pelbagai program penempatan banjir selepas itu termasuk meletakkan sebahagian mereka di tanah rancangan Felda bagi menyelesaikan permasalahan penduduk di sepanjang Sungai Pahang.

"Namun kali ini, kerajaan negeri seolah-olah lepas tangan sehingga peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lebih ketara di saat banjir atau selepasnya.

"Fokus Barisan Nasional dan media nampaknya hanya di Kelantan, tapi negeri sendiri terus tidak diberi perhatian," kata Tuan Ibrahim yang juga naib presiden PAS.

Di Kelantan, bantuan pasca banjir diuruskan Jawatankuasa Bersama Pasca Banjir dipengerusikan bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ia termasuk sumbangan RM500 kepada mangsa banjir di pusat pemindahan, pembinaan rumah baru dengan sekurang-kurangnya tiga bilik dan usaha mengenal pasti rumah yang musnah sepenuhnya dan yang rosak tetapi masih boleh dibaiki.

Bulan lepas, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan memberi keutamaan membina rumah mangsa banjir yang  musnah dengan seberapa segera melibatkan kos antara RM40,000 hingga RM45,000 setiap satu.

Katanya, dalam bencana banjir terburuk selepas 1971 itu, sejumlah RM610 juta kerugian dicatat di Pahang berikutan kemusnahan harta benda, hasil pertanian dan infrastruktur dan RM348.5 juta kerugian dicatatkan daripada kerosakan infrastruktur melibatkan jalan raya, jambatan dan kemudahan awam.

Tiada ulasan: