Jumaat, 13 Februari 2015

MH370: Mejar Zaidi Saksi Kes Saman Terhadap Kerajaan Malaysia


Oleh: IZRA ABDUL RAHMAN


Peguam Gary Edward Chong bersama Mejar Zaidi Ahmad, Arunan Selvaraj dan Arun Kasi pada sidang media during Press Conference in relation to the MH370.
 
 
 
KUALA LUMPUR: Pegawai tentera yang dipecat, Mejar Zaidi Ahmad akan menjadi salah sorang saksi kes saman dua anak lelaki penumpang MH370 terhadap kerajaan Malaysia.

Peguam yang mewakili keluarga mangsa, Datuk Dr Arunan Selvaraj berkata, pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu akan menjadi saksi di mahkamah kerana beliau mempunyai pengetahuan luas dalam bidang penerbangan.

“Mejar Zaidi akan menjadi salah seorang daripada lima saksi dalam kes saman ini.

“Hari ini kita hanya dedahkan seorang, manakala empat lagi akan didedahkan kemudian,” katanya pada sidang media khas MH370 di sini, Jumaat.

Arunan berkata, selain kerajaan Malaysia, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia, Jabatan Imigresen, TUDM dan Penerbangan Malaysia turut dinamakan sebagai defendan dalam permohonan saman yang difailkan keluarga mangsa.

Beliau menambah, nama saksi, defenden dan plaintif akan dihantar ke mahkamah untuk pengurusan kes pada 17 Februari ini.

“Kita boleh dedahkan semua saksi tetapi mengambil keputusan untuk dedahkan seorang sahaja buat masa sekarang,” katanya.

Seorang lagi peguam yang mewakili dua anak lelaki penumpang Mh370 itu yang masing-masing berusia 13 dan 11 tahun adalah Gary Edward Chong. Kedua-duanya dari firma Tetuan Rusmah Arunan & Associates.

Sementara itu, Mejar Zaidi yang mempunyai 26 tahun pengalaman dalam bidang penerbangan berkata, matlamat utama beliau menjadi saksi adalah bagi membantu keluarga mangsa mencari kebenaran.

“Saya secara sukarela bersetuju menjadi saksi. Saya ada tanggungjawab untuk tolong keluarga mangsa mencari jawapan kepada persoalan ini.

“Paling penting ia melibatkan aset kerajaan dan aset rakyat. Sebagai rakyat Malaysia, saya prihatin terhadap isu ini,” katanya.

Jelasnya, perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan beliau percaya harus ada pihak yang bertanggungjawab dan dibawa ke muka pengadilan.

“Setakat ini, kita tidak lagi menemuinya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menawarkan diri untuk sama-sama terlibat dalam pasukan penyiasatan jika Pakatan Rakyat mengetuai siasatan MH370.

Tiada ulasan: