Rabu, 18 Februari 2015

Majlis Perbandaran Kulai halang PR pasang kain rentang Selamat Tahun Baru Cina

8DEC teonieching 2

Roketkini.com


KULAI: Penolong Setiausaha DAP Teo Nie Ching menyelar sikap ‘pilih bulu’ Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) yang tidak mengizinkan Pakatan Rakyat (PR) menggantung kain rentang sambutan perayaan Tahun Baru Cina di sana.

Nie Ching berkata, tindakan MPKu itu ternyata tidak adil sama sekali kerana tujuan pemasangan kain rentang tersebut hanya untuk menyatakan ucapan Selamat Tahun Baru Cina dan langsung tidak ada sebarang unsur hasutan atau galakan melakukan kerosakan.

“Sebelum ini kain rentang ucapan Happy Deepavali dan Selamat Hari Raya Aidilfitri tidak pernah menerima sebarang halangan, kenapa ketika Tahun Baru Cina halangan tersebut dikuatkuasakan?

“Sejak bilakah ketetapan dibuat agar parti-parti politik dilarang menggantung mana-mana kain rentang ucapan perayaan di Kulai dan siapakah yang mengarahkannya?

“MPKu sepatutnya bersikap adil dan tidak pilih kasih dalam perkara ini dengan menguatkuasakan sesuatu ketetapan hanya kepada PR tapi tidak untuk parti komponen BN,” tegas Ahli Parlimen Kulai itu dalam satu kenyataan, semalam.

Tambah beliau lagi, PR Kulai juga akan mengadakan pertemuan secepat mungkin dengan pihak MPKu untuk mendapatkan kepastian dan penjelasan tentang perkara ini.

Nie Ching yang juga Setiausaha Wanita DAP turut mempersoalkan penglibatan UMNO, MCA, MIC dan Gerakan dalam Mesyuarat Ahli Majlis.

“Sekiranya ketetapan sedemikian dibuat dalam mesyuarat ‘full board’ MPKu, apakah pendirian MCA, MIC dan Gerakan dalam perkara ini?

“Perkara in bukan pertama kali terjadi. Bendera-bendera PAS telah dicabut oleh MPKu ketika mereka sedang mengadakan Muktamar Dewan Ulama Pusat di Palm Villa IOI, 17 September tahun lalu.

“Tapi kenapa bendera-bendera Gerakan yang telah mengadakan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di kelapa sawit tidak ditanggalkan?” soalnya.

Terdahulu, pada 9 Februari lalu, PR Kulai telah menghantar surat kepada MPKu untuk membuat permohonan pemasangan kain rentang Tahun Baru Cina.

Namun, jawapan yang diterima pada 16 Februari amat mengejutkan apabila MPKu mendakwa bahawa pihaknya telah membuat ketetapan sebarang sepanduk ucapan Tahun Baru Cina 2015 melibatkan parti-parti politik adalah tidak dibenarkan dalam kawasan pentadbiran majlis. -Roketkini.com

Tiada ulasan: