Selasa, 17 Februari 2015

Lori bawa wayar emas RM910,000 disamun

MALAYSIAKINI


 


Sekumpulan lima lelaki menyamun sebuah lori membawa muatan enam kotak wayar emas dengan anggaran berat 33 kilogram bernilai RM910,000 berhampiran susur masuk ke Taman Tuanku Jaafar (TTJ) di Seremban hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Muhamad Zaki Harun berkata kejadian itu berlaku pukul 10 pagi semasa lori jenis Hino yang dipandu Mohd Irwadi Abdullah, 32, bersama seorang kelindan yang juga bertindak sebagai pengawal keselamatan, sedang dalam perjalanan untuk menghantar barang dari Kilang UPS (Courier) di KLIA ke Kilang NXP di Kawasan Perindustrian TTJ.

"Semasa berada di Jalan Seremban-Tampin berhampiran susur masuk ke TTJ, lori yang dipandu mangsa telah dihalang sebuah MPV jenis Toyota Alphard berwarna kelabu yang dinaiki seorang lelaki di bahagian depan dan sebuah lagi kereta yang tidak dapat dikenal pasti yang dinaiki empat lelaki.

"(Tiba-tiba) dua daripada lelaki terbabit bersenjatakan kapak dan seorang daripada mereka telah menyimbah muka Mohd Irwadi dan kelindannya dengan minyak cecair seperti petrol," kata Muhamad Zaki di dalam kenyataannya.

Sejurus selepas itu, tangan kedua-dua mangsa diikat dengan wayar dan suspek kemudiannya menarik keluar kelindan lori dan memasukkannya ke dalam kereta suspek sebelum meninggalkan mangsa di KM228, Lebuh Raya Utara-Selatan di Simpang Ampat, Melaka arah selatan.

"Lori tersebut kemudiannya dipandu oleh suspek sejauh 2 kilometer dan kesemua barang muatan telah dipindahkan ke dalam kenderaan suspek sebelum beredar," katanya.

Beliau berkata suspek turut bertindak merampas barangan peribadi Mohd Irwadi seperti dompet yang mengandungi wang tunai RM150, dokumen peribadi serta telefon bimbit.

Katanya Mohd Irwadi kemudiannya dalam keadaan tangan terikat telah pergi ke tapak semaian berhampiran untuk meminta bantuan.

Muhamad Zaki berkata hasil pemeriksaan di tempat kejadian, polis telah menjumpai selaras pump gun kepunyaan kelindan lori tersebut di tepi longkang berdekatan lori tersebut.

Sehubungan itu, katanya, polis melancarkan Ops Kesan di sekitar daerah sempadan bagi mengesan suspek. - Bernama

Tiada ulasan: