Jumaat, 20 Februari 2015

Lelaki asing parah ditetak di Butterworth

MALAYSIAKINI


 


Seorang lelaki dipercayai warga asing cedera parah selepas ditikam dan ditetak oleh beberapa suspek dalam kejadian di hadapan sebuah bank di Chain Ferry di Butterworth hari ini.
              
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata mangsa, yang dipercayai berusia awal 20-an, ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan pada 1 pagi sebelum menghubungi ambulans.
              
"Pihak Hospital Seberang Jaya (HSJ) menghubungi polis untuk memaklumkan seorang lelaki yang mengalami kecederaan parah akibat ditetak dan ditikam.
              
"Ketika polis sampai di hospital, mangsa telah dibawa ke bilik pembedahan untuk rawatan lanjut kerana keadaannya yang kritikal serta tidak sedarkan diri," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
              
Beliau berkata berdasarkan maklumat daripada doktor yang merawat mangsa,  lelaki itu cedera akibat ditikam di bahagian perut sehingga ususnya terkeluar.

Abdul Rahman berkata pemeriksaan awal juga mendapati terdapat kesan tetak di bahagian belakang badan dan rusuk kiri serta pendarahan dalaman akibat dipukul.
              
Mangsa dipercayai diserang lebih daripada seorang lelaki dan polis sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan mangsa ditemui bagi membantu siasatan kes berkenaan.
              
"Polis tidak menemui sebarang dokumen perjalanan diri pada mangsa dan setakat ini kami belum dapat menemui lelaki itu kerana dia masih belum sedar," katanya.
              
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu supaya menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasata mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sementara itu polis menahan seorang lelaki warga Vietnam yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan rakan senegaranya di Perhentian Bas Ulu Tiram di Kota Tinggi hari ini.

Suspek ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang operator pengeluaran lelaki, Do Quang Tuyen, 28 di Kawasan Perindustrian Kampung Lukut, Batu Ampat di sini yang meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Kota Tinggi petang semalam akibat cedera parah ditikam.
              
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata suspek yang merupakan bekas rakan sekerja mangsa berusia 20 tahun, ditahan kira-kira jam 9.50 pagi tadi di perhentian bas itu.
              
"Suspek kini telah dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut," katany yang dihubungi Bernama hari ini.
              
Menurut beliau, penahanan dibuat susulan soal siasat yang dijalankan terhadap lima rakan serumah mangsa pada pukul 5 dan 6 petang semalam.- Bernama

Tiada ulasan: