Rabu, 18 Februari 2015

KPDNKK Gempur Kilang Dan Pemborong

RAKYAKNEWS


Hasan Malek


 
KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan bertindak menggempur kilang atau syarikat pemborong yang enggan menurunkan harga barangan keluaran mereka susulan laporan pengguna atau peniaga kecil, menurut Sinar Harian hari ini.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata, KPDNKK bagaimanapun akan menyiasat terlebih dahulu laporan tersebut sebelum mengambil tindakan berdasarkan undang-undang.

"Kita tak boleh suka-suka gempur (pengilang), kita perlu siasat dahulu," beliau dilaporkan berkata, mengulas desakan meminta Putrajaya mengambil tindakan tegas terhadap pembekal yang bukan sahaja enggan menurunkan harga barang malah menaikkan harganya.

Desakan itu dibuat bersama beberapa pertubuhan termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), pasar raya Mydin dan My Hero, Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam dan Persatuan Pemborong dan Peruncit Muslim Malaysia pada satu sidang media di Kuala Lumpur semalam.

Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, daripada 2,500 pembekal barangan kepada pasar raya Mydin, hanya tiga pembekal berjanji menurunkan harga barangan, selari dengan pengurangan kos susulan penurunan harga minyak.

Katanya, keengganan majoriti pembekal menurunkan harga barang dipercayai akibat kewujudan banyak kartel di peringkat pengeluar dan pengilang yang berpakat tidak menurunkan harga barang.

“(Ekonomi Malaysia) bukanlah ekonomi terbuka seperti yang anda fikir. Kalau terbuka dan kompetitif, semua orang akan berebut turunkan harga.

“Di peringkat peruncit memang kompetitif, setiap hari kami berlawan harga, tetapi di peringkat pengeluar tidak tahu macam mana,” beliau dipetik sebagai berkata dalam Sinar Harian.

Ameer berkata, pada satu mesyuarat antara pembekal dan peruncit dengan Hasan pada 10 Februari lalu, beliau mengemukakan surat yang diterimanya daripada 70 pembekal yang menaikkan harga barang walaupun selepas penurunan harga minyak.

Katanya, dalam mesyuarat itu, Hasan meminta pembekal mengurangkan harga barang namun sehingga hari ini, mereka tidak memberi sebarang jawapan.

Ameer berkata, pembekal memberi alasan harga barang tidak boleh dikurangkan walaupun selepas penurunan harga minyak kerana kos bahan api hanya meliputi 0.8% daripada kos keseluruhan operasi.

Beliau juga berkata, cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada April merupakan antara punca pembekal enggan menurunkan harga.

“Kami hanya menerima surat daripada dua pembekal yang menyatakan selepas GST, harga mereka akan turun," katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan dilaporkan berkata, walaupun harga minyak turun, trend sama tidak dapat dilihat dalam harga barang.

Bernama melaporkan, lebih 6,000 klinik di bawah Perdim menawarkan pengurangan caj bayaran sebanyak 10% berkuat kuasa semalam, dalam usaha membantu meringankan beban pengguna.

Yang Dipertua Perdim Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, pengurangan caj berkenaan melibatkan perkhidmatan seperti rawatan, perubatan dan konsultasi.

1 ulasan:

Sabina45 berkata...

Kilang yang digempor itu tidak termasuk dalam senarai kroni