Rabu, 11 Februari 2015

Konsisten Anwar dalam perjuangan



Oleh Abd Shukur Harun 


PELBAGAI pihak, baik pemimpin Pakatan Rakyat, mahupun para penyokong, serta para penganalisis politik tidak merasakan perjuangan Pakatan akan terjejas dengan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahkan mereka merasakan perjuangan menegakkan keadilan akan bertambah hebat.

Ini adalah keazaman dan komitmen pimpinan Pakatan Rakyat seperti yang ditegaskan oleh Timbalan Presiden PKR, Muhd Azmin Ali, Setiausaha Agung PAS, Datuk Haji Mustafa Ali dan lain-lain, yang percaya bahawa perjuangan Pakatan Rakyat akan diteruskan meskipun Anwar meringkuk dalam penjara selama lima tahun.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merakamkan ucapan takziah terhadap Datuk Seri Anwar susulan keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Presiden PAS itu berkata hanya undang-undang Islam mampu memberi keadilan sebenar dan penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan dan kekeliruan.

"Ia juga mengingatkan kita semua, hanya undang-undang syariah saja dapat memberi keadilan sebenar dan penyelesaian terhadap seluruh kekeliruan dan fitnah sebagaimana kes ini.

"Maka, perlulah semua pihak memberi keyakinan kepada PAS untuk membawa perjuangan hingga berdaulatnya undang-undang Syariah di dalam pemerintahan negara kita ini, termasuk menegakkan 'addin' yakni cara hidup Islam," katanya.

Presiden PAS itu menyatakan simpati kepada Anwar dan menyifatkan keputusan mahkamahh itu "satu lagi sejarah hitam negara".

Katanya, keputusan itu mengulangi tragedi yang ditanggung oleh Anwar sebelum ini, merujuk keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes liwat pertamanya pada 1999 di mana Anwar dihukum penjara selama 9 tahun, tetapi dibebaskan pada 2004 selepas Mahkamah Persekutuan mengenepikan sabitan dan hukuman itu

"Untuk itu, rakyat perlu melihat konsisten politik Anwar untuk terus menjadi pejuang rakyat," kata beliau sambil menasihatkan Anwar, ahli keluarganya dan seluruh anggota PKR dan Pakatan Rakyat (PR) supaya terus sabar dan istiqamah untuk kekal meeruskan perjuangan menegakkan keadilan bagi negara.

Sementara itu, buat sementara waktu ini, dalam suasana yang masih sedih dan kecewa dengan keputusan mahkamah itu, pemimpin Pakatan belum bersedia untuk memikirkan hal-hal lain, kecuali memikirkan segera siapakah ganti Anwar sebagai pemimpin utama Pakatan dan juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

Sementara itu, suasana di sekitar Istana Keadilan, di Putrajaya, sejak awal pagi Selasa hingga keputusan dicapai di sebelah tengah hari, sangat berwarna warni, di samping semuanya menantikan keputusan dengan tenang.

Majoriti yang hadir di depan kawasan lapang Istana Keadilan itu, adalah generasi baru, pelbagai bangsa, sementara para pelaku politk veteran tetap ramai dengan penuh semangat. Sokongan besar rakyat pelbagai bangsa kepada Anwar tidak kurang hebatnya dibandingkan sokongan yang diterima beliau ketika dipenjarakan atas tuduhan liwat juga pada tahun 1999.

Ini membuktikan pengaruh Anwar masih tidak berkurang dan terus menjadi ikon anak muda dengan pelbagai gaya mereka menantikan keputusan mahkamah. Ada yang membawa alat muzik, bermain gitar dan menyanyi lagu-lagu puisi, ada yang berceramah silih berganti.

Yang sangat mengesankan ialah bacaan ayat-ayat suci, solat hajat dan munajat dari kumpulan yang besar juga jumlahnya. Di samping itu, di sudut lain, ada yang berpidato silih berganti dari aktivis politik.

Di sana saya bertemu Senator Syed Husin Ali dan adiknya, Syed Hamid dari PKR Johor yang sudah sekian lama tidak berjumpa. Juga bertemu dengan Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, aktivis, Hishamudin Rais, bekas ahli parlimen Balik Pulau, peguam Yusmadi Yusuff, Adun Kuala Semantan Syed Hamid bin Syed Muhamad, tokoh PKR, Dr. Mohd Nor Manuty dan ramai lagi sahabat dari PKR, PAS dan DAP.

Mereka semuanya menyatakan bahawa walapun DS Anwar Ibarhim meringkuk dalam penjara, tetapi perjuangannya untuk menegakkan kekadilan tetap ditetuskan.

“Anwar membawa visi mulia dalam perjuangan menegakkan keadilan dan dia telah membayar dengan mahal harga perjuangan itu. Tetapi perjuangan tidak pernah sia-sia,” kata Dr. Mohd Nor Manuty.

Mereka semua amat bersimpati dengan isteri Anwar, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anak mereka. Nampaknya keluarga ini sangat tabah dan sabar menghadapi keadaan yang sangat mencabar ini.

Ada di antara mereka berpendapat Dr Wan Azizah boleh menggantikan Anwar untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh yang akan kosong berikutan pemenjaraan Anwar. Di samping itu ada pula yang mencadangkan nama lain, seperti nama Muhd Azmin Ali.

Namun dalam keadaan duka nestafa ini, nampaknya PKR belum bersedia secara muktamad memilih calonnya. Hal ini kerana pepimpin Pakatan Rakyat bermesyuarat segera untuk menentukan siapakah ketua pembangkang yang baru.

"Saya percaya ini akan mengukuhkan hubungan Pakatan Rakayat bagi meneruskan perjuangan," kata Azmin kepada pemberita di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya akan mengumumkan kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebaik menerima surat rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata. Hanya SPR yang boleh mengumumkan tarikh kekosongan kerusi berkenaan.

"Dalam tempoh 10 hari daripada tarikh kekosongan, SPR akan mengumumkan beberapa tarikh penting termasuk tarikh bagi mengadakan pilihan raya kecil kerusi tersebut," kata beliau.

Walau apapun yang terjadi, perjuangan Anwar akan diteruskan dan musuh Pakatan Rakyat akan kecewa jika menyangkakan bahawa pemenjaraan Anwar akan melumpuhkan perjuangan Pakatan Rakyat untuk menegakkan keadilan. Sesungguhnya legasi dan cita-citta dan perjuangan Anwar tidak mungkin dapat dikalahkan.

Di sinilah saya teringat akan kata-kata Mahatma Gandhi:

“You can detain me, you can torture me, you can even destroy this body, but you will never imprison my mind.”

Tiada ulasan: