Jumaat, 20 Februari 2015

Kes Liwat II: Hanipa sedia debat dengan KJ dan Shafee

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhubung Kes Liwat II melibatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Ujar Hanipa, beliau juga bersedia berdebat dengan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang mahu menjelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan berhubung kes itu.
 
"Saya merasa terpanggil dan Insya-Allah bersedia menyahut cabaran Shafee atau Ketua Pemuda Umno dan bersedia untuk berdebat atau berwacana sama ada dengan Shafee sendiri atau Ketua Pemuda Umno Malaysia berkaitan isu tersebut.
 
"Maka saya berharap jika respon saya ini mendapat respon balas daripada mereka berdua mudah mudahan satu sesi perdebatan terbuka akan diadakan berkenaan isu tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
 
Shafee dalam satu program dialog Selasa lalu memberi penerangan dan pendedahan terperinci kejadian liwat yang membabitkan Anwar dengan bekas pembantu khasnya, Saiful Bukhari Azlan, sehingga membawa kepada pemenjaraan pemimpin pembangkang itu.
 
Peguam tersebut juga menyangkal dakwaan pembangkang yang menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari itu konspirasi Umno-Barisan Nasional (BN), kerana semua bukti berpihak kepada pengadu kes iaitu Saiful.
 
Malah, Khairy yang turut hadir dalam dialog berkenaan juga mengumumkan Umno akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara bagi memberi penerangan kepada rakyat agar tidak terkeliru dengan dakwaan pembangkang.  
 
Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pula berkata, beliau bersedia menyediakan platform untuk sesi debat terbuka antara Shafee Abdullah dengan pihak yang mempertikai keputusan kes liwat Anwar.
 
Justeru, Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang mencadangkan supaya debat itu perlu diadakan di mana-mana universiti awam dalam negara.
 
Hanipa juga mencadangkan ia disiarkan secara langsung oleh RTM atau TV3 supaya memastikan seluruh rakyat mendapat maklumat tentang debat itu.

Tiada ulasan: