Roketkini.com
PETALING JAYA: Kerajaan UMNO-BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak telah melakukan tindakan yang salah jika mereka menyangka dengan terpenjaranya Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim gelombang perubahan rakyat akan merudum, kata mantan Presiden Majlis Peguam Negara Datuk Ambiga Sreenevasan.
Beliau menegaskan, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu sebenarnya jauh lebih ‘berbahaya’ kepada pimpinan zalim UMNO-BN ketika berada di dalam penjara berbanding di luar.
“Jika kerajaan berpendapat faktor Anwar telah berkurangan dengan penahanan beliau, nampaknya kerajaan sudah tersalah langkah.
“Faktor Anwar itu sebenarnya melangkaui segala-galanya. Beliau adalah simbol perjuangan rakyat dan penguat kepada Pakatan Rakyat (PR),” katanya dalam forum ‘Masa Depan Politik Tanpa Anwar’ di Pejabat portal MalaysiaKini, malam tadi.
Sehubungan itu, Ambiga yang terlibat dalam Gerakan Rakyat Untuk Menebus Kembali Negara Malaysia (Negara-Ku) juga memohon PR untuk bersatu bersama rakyat dalam keadaan penuh duka ini dengan mengenepikan segala agenda persendirian.
“Rakyat berdiri di belakang anda (PR) dan menuntut perpaduan dari kesemua pimpinan dalam situasi sekarang.
“Pada saya, masanya sudah tiba untuk PR hentikan segala ketidaksefahaman dan kembali kepada dasar bersama dan membuktikan kepada semua masyarakat bahawa PR boleh menyedia serta menjadi kerajaan baru yang berdaya maju.
“PR harus lebih kuat dan hentikan pertelingkahan dalam, rakyat sudah tidak mahu mendengar semua itu,” ujarnya.
Antara panelis lain dalam forum tadi ialah Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, aktivis politik Hishamuddin Rais dan dimudahcara oleh Ketua Pengarang MalaysiaKini Fathi Aris Omar.
Dalam pada itu Ambiga turut menyokong kritikan PR seperti dilakukan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berhubung kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) berhubung kes Anwar yang sama sekali tidak masuk akal apabila ia dikeluarkan ketika prosiding mahkamah masih berjalan.
“Kenyataan dari PMO itu amat luar biasa, macam mana kenyataan sedemikian boleh keluar sebelum hukuman dijatuhkan terhadap Anwar?” soalnya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan