Jumaat, 6 Februari 2015

[KEMASKINI] Anwar anggap mahkamah korup jika gagal rayuan Liwat II

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamed Azhar
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata badan kehakiman hanya boleh dianggap bebas sekiranya Mahkamah Persekutuan melepaskan beliau pada Selasa depan daripada tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
 
"Jika saya dibebaskan, maka mahkamah juga bebas. Jika saya masuk penjara, ini bermaksud mahkamah tak bebas," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Peluncuran Buku Dr Syed Husin Ali di Shah Alam Convention Centre (SACC), tengah hari tadi.
 
Mahkamah Persekutuan Selasa ini akan memberi keputusan terhadap rayuan Anwar untuk membatalkan hukuman lima tahun penjara ke atasnya setelah beliau disabit atas kesalahan meliwat Saiful. 
 
Hukuman itu dikenakan oleh Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lalu setelah Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 
 
Anwar berkata beliau yakin dibebaskan pada Selasa ini dan menegaskan tidak ada keperluan untuk Pakatan Rakyat menentukan penggantinya jika mahkamah mengekalkan hukuman penjara lima tahun itu.  
 
"Guan Eng sendiri pernah tanya mengapa perlu cari pengganti? Jadi kita seharusnya menjangkakan yang terbaik.
 
"Perjuangan ini akan diteruskan. Dan saya akan kekal, insyaAllah," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.
 
Anwar bagaimanapun berkata keluarganya tertekan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan itu. 
 
"Penerimaan... Tak mudah untuk Azizah walaupun kini beliu semakin kuat. Dia bimbangkan keadaan saya. Tapi inilah pengorbanan yang saya kena lakukan.
 
"Cucu saya iaitu anak Izzah bertanyakan kepada saya mengapa mereka katakan soal masuk penjara, dan ini tidak mudah pada saya," ujar Anwar.

Tiada ulasan: