THE MALAYSIAN INSIDER
Satu
operasi khas dikenali sebagai 'Ops GST' akan dilancar serentak di
seluruh negara mulai 1 Mac depan untuk menjejaki pihak yang masih gagal
berdaftar dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada atau sebelum
28 Februari ini.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Khazali Ahmad berkata Ops GST yang
melibatkan seramai 5,000 pegawai dan anggota itu akan beroperasi 24 jam
sehari.
"Satu perintah operasi dikeluarkan sebagai garis panduan untuk pegawai
dan anggota yang terlibat supaya nanti tiada orang yang akan menyamar
sebagai pegawai atau anggota kastam," katanya dalam sidang media khas
mengenai GST di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata sepanjang tempoh operasi, mana-mana pihak yang didapati
gagal berdaftar di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 (Akta
GST 2014) selepas 1 Mac akan didaftarkan secara paksaan dan tindakan
kompaun sebanyak RM15,000 akan dikenakan.
"Selepas keluarkan kompaun kita akan akan bagi tempoh dua minggu untuk
mereka respons dan selepas itu bagi lagi dua minggu. Selepas satu bulan
(empat minggu) kita akan ambil tindakan mahkamah," katanya.
Katanya, sepanjang menjalankan operasi tersebut, pegawai dan anggota
yang terlibat akan turut lengkap dengan kemudahan jalur lebar untuk
membantu pihak yang berkenaan mendaftar dengan GST.
Beliau berkata hasil semakan antara agensi, pihaknya mendapati masih
terdapat 62,709 perniagaan yang dikenal pasti belum berdaftar GST
walaupun melebihi nilai perbekalan bercukai sebanyak RM500,000.
Katanya, perniagaan yang belum berdaftar itu meliputi 17 sektor utama
iaitu pertanian, perhutanan dan perikanan (2,778); perlombongan, kuari
dan petroleum (227); pembuatan (3,722); elektrik, gas, bekalan pendingin
hawa dan stim (897); bekalan air, pembetungan, pengurusan sisa dan
aktiviti pemulihan (257); hartanah dan pembinaan (10,240).
Sektor lain perdagangan borong dan runcit (26,262); automotif (1,719);
pengangkutan dan penyimpanan (3,025); penginapan, aktiviti perkhidmatan
dan hospitaliti (3,461) serta maklumat dan komunikasi (965).
Kewangan dan insurans/aktiviti takaful (2,027); profesional, saintifik
dan aktiviti teknikal (3,887); kelab, masyarakat, badan bukan kerajaan
dan organisasi yang serupa serta pihak berkuasa tempatan (216);
pendidikan (896); kesihatan (2,408) serta permainan termasuk aktiviti
sukan dan hiburan dan aktiviti rekreasi, turut tersenarai sebagai sektor
utama.
Khazali berkata Jabatan Kastam menghantar peringatan kepada semua
pihak berkenaan dengan menggunakan Pemberitahuan Penerimaan (AR) agar
segera mendaftar dengan GST selewat-lewatnya 28 Februari ini atau
berdepan tindakan.
Tambahnya berbaki 46 hari lagi sebelum GST dilaksanakan pada 1 April
depan, sebanyak 316,001 perniagaan yang layak mendaftar di bawah Akta
GST 2014 sehingga semalam (16 Februari).
"Ini menunjukkan penerimaan positif oleh peniaga-peniaga terhadap sistem percukaian ini," katanya.
Selain itu Khazali berkata seseorang ahli lembaga yang menawarkan
perkhidmatan secara kontrak perkhidmatan dalam sesebuah syarikat dan
memperoleh pendapatan sebanyak RM500,000 setahun juga layak dikenakan
GST sebanyak 6%.
Katanya GST yang dikenakan kepada ahli lembaga pengarah selaras dengan
Seksyen 3 (1) Akta GST 2014 yang mentakrifkan perniagaan adalah
merangkumi aktiviti perdagangan, jual beli, profesion
atau sebarang
aktiviti seumpamanya sama ada bersifat keuntungan kewangan atau tidak.
"Ada individu di Malaysia yang menjadikan jawatan sebagai ahli lembaga
pengarah sebagai pendapatan utama dan memperoleh lebih daripada
RM500,000 setahun.
“Tetapi, sekiranya pelatikan sebagai pengarah itu disebabkan jawatan
yang disandang (jawatan semasa) maka ia tidak tertakluk kepada GST. Ahli
lembaga pengarah dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) juga
terkecuali daripada GST," jelas Khazali. – Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan