MUSA AWANG
 
 
SHAH ALAM - Siri jelajah seluruh negara bersama peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang juga ketua pendakwa raya dalam kes liwat II perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Peguam Negara.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Musa Awang berkata, ini kerana sesi penerangan awam di seluruh negara oleh Muhammad Shafee itu dikhuatiri boleh menimbulkan polemik berterusan.

"Tindakan beliau dengan adakan siri jelajah ini mungkin boleh menjadi pencetus kepada pihak lain membuat pendedahan berkaitan isu-isu lain yang pernah dibicarakan.

"Apa-apa pun, mintalah nasihat dahulu," katanya kepada Sinar Harian.

Muhammad Shafee akan mengikuti siri jelajah anjuran Umno bagi menjelaskan kes liwat II membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memandangkan proses kehakiman kes itu kini sudah selesai.

Musa berkata, pendedahan yang cuba dikemukakan Muhammad Shafee mengenai keputusan perbicaraan kes tersebut kepada umum dianggap tidak wajar daripada sudut moral.

"Jika pendedahan itu dilakukan untuk perbincangan akademik, ia tidak dianggap salah. Dari sudut undang-undang juga tiada salahnya, tetapi apabila dibuat secara terbuka, moralnya pula dilihat tidak elok,” katanya.

Menurutnya, untuk lebih adil, wakil peguam bela Anwar juga perlu ada dalam sesi penerangan tersebut supaya tiada fakta berat sebelah diperoleh orang ramai.

“Mungkin ada antara fakta yang tidak betul (dikemukakan Muhammad Shafee dalam sesi penerangan itu), jadi pihak lawan tiada untuk jawab.

“Boleh jadi juga orang awam yang tidak faham mengenai undang-undang akan memberi pandangan berbeza dan berlaku kekeliruan dengan penjelasan cuba disampaikan,” katanya.