Keadaan tapak projek yang menjejaskan sungai. Keadaan tapak projek yang menjejaskan sungai.
 
 
RAWANG - Hutan yang dahulunya menghijau dan penuh dengan pokok-pokok kini gondol selepas aktiviti di kawasan itu dijalankan sejak Oktober lalu.

Projek di sebalik hutan di Batu 15 itu menimbulkan tanda tanya dan kebimbangan penduduk berhampiran terutamanya mereka di Taman Setia Jaya.

Mereka mempersoalkan kesahihan projek berkenaan kerana tiada sebarang papan tanda atau pemberitahuan dipasang berhampiran tapak berkenaan.

Jawatankuasa Penduduk Zon 19, Mohd Shafie Taslim, 47, meminta pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Tanah Daerah Gombak menjalankan siasatan terhadap aktiviti berkenaan.

“Kami tak pasti status tanah dan projek itu kerana tak nampak sebarang papan tanda dipasang. Kalau tengok dari aktiviti nampak meragukan dan menjejaskan alam sekitar.

“Buktinya mendapan pada tapak projek menjejaskan kelancaran anak sungai yang dilihat semakin sempit dan menjadi keruh setiap kali selepas hujan atau ketika pembuangan sisa dari tapak projek,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, kerja meratakan tanah juga dilihat semakin membimbangkan apabila berlaku mendapan dan menjejaskan struktur rumah penduduk yang turut alami keretakan.

“Ketinggian tapak projek dengan anak sungai lebih sepuluh meter. Sekiranya aktiviti berterusan dikhuatiri berlakunya runtuhan yang akan memberikan kesan kepada penduduk setempat.

“Harap langkah awal dapat diambil untuk elakkan perkara lebih serius berlaku,” katanya.

Seorang penduduk, Ahmad Abun, 69, berkata, jarak rumah dengan lokasi aktiviti hanya dipisahkan anak sungai yang saban hari semakin cetek.

“Gangguan bunyi bising memang setiap hari didengar dah menjadi perkara biasa tapi soal keselamatan memang tak boleh diambil mudah.

“Kalau boleh pihak berwajib turun siasat dan ambil tindakan, jika projeknya sah mohon ciri keselamatan dipertingkatkan untuk elak insiden seperti di Cameron Highland berlaku di sini.

“Aktiviti itu dilihat mulai perlahan berbanding dulu selepas pokok hutan menjadi botak dalam masa singkat dan operasinya pernah dijalankan sehingga lewat malam,” katanya.