Ahad, 8 Februari 2015

Isu hudud, PBT ke mesyuarat khas pula

MALAYSIAKINI




 
 
 
Pakatan Rakyat hari ini belum membuat sebarang kata sepakat dalam perkara berkaitan pelaksanaan hudud dan pilihan raya tempatan.

Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat khas akan datang, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mesyuarat Pakatan hari ini.

Anwar berkata demikian dalam sidang media yang disertai lebih 20 pemimpin Pakatan membincangkan mengenai Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Mesyuarat hari ini setuju semua keputusan oleh pimpinan Pakatan berteraskan muafakat bersama atas saling menghormati, keputusan dimuktamadkan sebegini menjadi asas keutuhan Pakatan selama ini.

“Pakatan juga akan meraikan perbezaan pendapat. Mesyuarat bersetuju (mengadakan) mesyuarat khas, bagi membincangkan dan merancang penyelesaian untuk sentuh Enakmen Syariah, pilihan raya PBT,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS Kuala Lumpur.

Sementara itu, Penasihat DAP , Lim Guan Eng berkata, mesyuarat khas itu akan dilakukan selepas keputusan rayuan akhir kes Liwat II Anwar pada Selasa ini disampaikan.

“Kami menegaskan, perbicaraan (Liwat II) ini bermotifkan politik. Majlis pimpinan juga setuju untuk bermesyuarat sejurus keputusan mahkamah (pada) 10 Februari,” kata Guan Eng.

Hadi sampaikan salam


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak hadir dalam sidang media itu walaupun turut serta dalam mesyuarat sebelum itu.

Anwar ketika ditanya pemberita berhubung perkara itu menjawab: "Dia (Hadi) sampaikan salam".

"Sebenarnya Hadi tangguhkan program lain dan dia sepatutnya meninggalkan mesyuarat awal tetapi dia kekal sampai akhir mesyuarat," kata Anwar.
 

Tiada ulasan: