Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media. - Foto Sinar Harian oleh MOHAMAD NAUFAL Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media. - Foto Sinar Harian oleh MOHAMAD NAUFAL
 
 
PUTRAJAYA - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan segelintir pihak yang mengugut dan mengecam kenyataannya adalah perkara biasa.
 
Menurut Ismail Sabri, beliau akan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. 
 
"Itu normal. Dalam dunia ini ada yang tidak suka saya, ada yang suka saya, ada yang sanjung saya, ada yang bencikan saya, ada yang ugut saya. Itu perkara biasa.
 
"Negara kita ada undang-undang. Kita lihat contoh pada diri saya sendiri. Saya muatnaik komen boikot peniaga Cina menerusi Facebook, dalam masa dua hari saya sudah dipanggil polis untuk beri keterangan. Ia menunjukkan kecekapan pihak berkuasa menangani sesuatu isu dalam negara. Dan saya harap polis juga akan tunjukkan kualiti kecekapan yang sama untuk kesan dan jejak individu yang ugut saya," katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.
 
Ismail Sabri berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung tindakan segelintir individu yang mengecam dan mengugutnya menerusi laman sosial beliau selepas mengeluarkan kenyataan supaya memboikot peniaga Cina.
 
Kenyataan Ismail Sabri yang sebelum ini meminta pengguna memboikot peniaga Cina yang mengaut keuntungan berlebihan menjadi viral di laman sosial.
 
Ekoran itu, pelbagai pihak memberikan reaksi, ada yang menyokong dan tidak kurang yang mengecam kenyataannya itu. 
 
Ismail Sabri juga akan memberikan keterangan kepada pihak polis bersabit kenyataannya itu petang ini.