Antara komen-komen di Facebook menghentam Ismail Sabri. Antara komen-komen di Facebook menghentam Ismail Sabri.
 
 
 
SHAH ALAM – Tidak cukup dengan tekanan diterima daripada pelbagai pihak selepas kenyataan kontroversinya menggesa tindakan boikot ke atas peniaga degil yang enggan menurunkan harga barang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini berdepan dengan ugutan bunuh pula.

Sumber yang rapat dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani  itu memberitahu Sinar Harian, ugutan bunuh diterima hampir setiap hari oleh Ismail Sabri menerusi akaun Facebook miliknya.

"Memang ada banyak ugutan dan ancaman bunuh ke atas Datuk Seri (Ismail Sabri). Perkara itu kita teliti dan semak hampir setiap hari," katanya.

Untuk keselamatan Ismail Sabri, juga anggota keluarganya, sumber itu berkata, laporan polis telahpun dibuat supaya siasatan dapat dijalankan.
 
[ARTIKEL BERKAITAN: Ismail Sabri: Tunggulah selesai lawatan Jokowi]

Katanya, sebagai ahli politik berpengalaman, Ismail Sabri bagaimanapun tenang menghadapi situasi itu.

"Alhamdulillah, dia nampaknya tenang dan dalam keadaan baik serta menjalani rutin hidup seperti biasa. Hal yang seperti ini asam garam dalam perjuangan dan kehidupannya sebagai orang politik," katanya.

Ismail Sabri baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila kenyataannya di Facebook yang menggesa orang ramai terutama orang Melayu sebagai majoriti penduduk negara ini menggunakan kuasa mereka sebagai pengguna, memboikot peniaga yang menaikkan harga barang secara tidak munasabah, dianggap sebagai perkauman kerana menyentuh golongan peniaga keturunan Cina sebagai sasaran.

Berikutan itu, beliau menerima kecaman daripada pelbagai pihak. Selain pemimpin parti pembangkang terutama DAP, rakan sekabinetnya iaitu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga Presiden MCA dan timbalannya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, turut sama mengkritik Ismail.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin cuba meredakan keadaan dengan menyatakan bahawa kenyataan Ismail Sabri itu bertujuan menegur semua peniaga yang enggan menurunkan harga barang walaupun setelah harga bahan bakar diturunkan, bukan ditujukan kepada mana-mana kaum tertentu.

Ismail Sabri yang sebelum ini dinyatakan akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada polis berhubung kenyataannya itu, bagaimanapun setakat ini difahamkan belum lagi berbuat demikian.

Dalam pada itu, Briged Kesatria Muda Pemuda Umno semalam tampil membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur berhubung ugutan bunuh yang diterima menteri berkenaan.

Pengerusinya, Armand Azha Abu Hanifah berkata, laporan itu bertujuan untuk meminta polis menyiasat pemilik akaun Facebook  yang mengugut Ismail.

"Ancaman ini sangat serius dan boleh beri kesan negatif kepada keharmonian  hubungan antara kaum dan perpaduan rakyat negara ini.  Laman sosial Facebook individu bernama Alan Ling Sie Kiong dan beberapa lagi yang melakukan ugutan bunuh terhadap Ismail Sabri perlu disiasat.

“Polis serta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menjalankan siasatan segera dan membawa mereka yang bertanggungjawab ini ke muka pengadilan,” tegasnya.

Beliau berkata,  sekiranya perkara itu tidak ditangani dengan segera, dibimbangi akan merebak perbuatan yang serupa ataupun tindak balas oleh mereka yang mahu membela Ismail.

Armand Azha turut menyifatkan kenyataan menteri berkenaan adalah untuk kepentingan seluruh rakyat negara ini tanpa mengira kaum, agama dan bangsa mahupun fahaman politik.

“Tetapi ia disalah ertikan oleh pihak yang cetek akal menjadikan medan sosial tempat untuk menabur kebencian, hasutan dan paling jijik adalah ugutan bunuh secara terbuka terhadap kepimpinan negara,” katanya.